DALAM budaya berkomunikasi, sama ada secara lisan atau bertulis, kita sering beranggapan ketepatan tatabahasa dan keluasan kosa kata sudah memadai untuk menjamin keberkesanan menyampaikan maklumat.
Namun, pengalaman hidup dalam masyarakat majmuk yang rencam memperlihatkan hakikat yang berbeza dan lebih kompleks.
Bahasa bukan sekadar alat penyampai makna, sebaliknya juga cerminan budi, adab dan tamadun si penutur.
Pada pemerhatian saya, di sinilah letaknya kepentingan kesantunan berbahasa. Aspek ini sering dipandang remeh tetapi mampu menentukan sama ada sesuatu komunikasi itu membina jambatan atau meruntuhkan hubungan.
Beberapa kes yang dilaporkan dalam media massa dan media sosial menunjukkan bagaimana kegagalan mengawal emosi serta mengabaikan kesantunan berbahasa mencetuskan konflik yang tidak perlu.
Misalnya, bayangkan seorang penjawat awam membalas e-mel aduan orang ramai dengan nada sinis dan menyindir. Walaupun maklumat yang disampaikan mungkin tepat dari segi fakta, namun penggunaan frasa seperti “anda sepatutnya tahu” atau “ini bukan tanggungjawab kami” pasti menimbulkan rasa tersinggung dalam kalangan pengadu iaitu orang awam.
Kes seperti ini mungkin tular di media sosial, sekali gus mencemarkan imej jabatan terbabit. Sekiranya individu tersebut mengamalkan kesantunan berbahasa, pastinya situasi tegang itu berpotensi dielakkan.
Apa yang diharapkan bukanlah penyelesaian segera kepada aduan. Sebaliknya, bayangkan betapa baik jika pegawai tadi memilih ungkapan seperti “terima kasih atas maklum balas” atau “kami akan cuba membantu dalam ruang lingkup tugas kami”.
Dalam satu lagi kes, bayangkan seorang tokoh awam dikritik hebat selepas menyampaikan ucapan di khalayak ramai dengan menggunakan kata-kata yang dianggap menghina golongan tertentu.
Walaupun mungkin niat asalnya sekadar bergurau atau menyampaikan analogi, kegagalan menilai sensitiviti khalayak boleh menyebabkan ucapan itu ditafsir sebagai tidak beradab.
Reaksi balas daripada masyarakat bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu tersebut, malah mencetuskan perdebatan panjang tentang etika berkomunikasi.
Sekiranya tokoh itu lebih berhati-hati dalam pemilihan kata, maka ucapannya mungkin dapat diterima dengan lebih baik walaupun masih berisi kritikan pedar.
Maknanya, penutur perlu mengelakkan stereotaip selain memperhalusi gaya metafora dan mempertimbangkan latar belakang pendengar sebelum membuka mulut.
Ramai pengguna media sosial cenderung meluahkan pendapat secara spontan tanpa menapis bahasa yang digunakan. Kata-kata berunsur makian, sindiran tajam dan tuduhan melulu sering menjadi ‘senjata’ dalam perbincangan hangat di ruang siber.
Akibatnya, ruang wacana yang sepatutnya menjadi medan pertukaran idea berubah menjadi gelanggang pertelingkahan. Dalam beberapa kes, individu yang menjadi sasaran bahasa kasar mengalami tekanan emosi. Malah, ada mangsa yang terpaksa mengambil tindakan undang-undang.
Di sinilah kita melihat hakikat kesantunan berbahasa bukan sekadar nilai estetika tetapi juga mekanisme perlindungan sosial yang wajar diberi perhatian.
Jika diteliti lebih mendalam, kesantunan berbahasa sebenarnya berakar pada kesedaran tentang ‘pihak yang lain’. Apa yang saya maksudkan ialah keupayaan memahami hakikat setiap kata yang diucapkan atau ditulis akan sampai kepada individu daripada latar pengalaman, budaya, emosi dan sensitiviti yang berbeza.
Ada beberapa cara bagaimana perhatian kepada aspek kesantunan berbahasa boleh menyelamatkan keadaan dan mengelakkan kita terperangkap dalam kancah perdebatan yang tidak diperlukan.
Pertama, pemilihan kata dengan berhati-hati. Kata-kata yang neutral dan tidak menghakimi mampu meredakan ketegangan.
Sebagai contoh, jangan jatuhkan hukuman dengan kata-kata “anda salah”. Sebaliknya, kita boleh memilih ungkapan seperti “mungkin terdapat kekeliruan yang boleh kita perjelaskan bersama”.
Perubahan kecil ini mampu memberi kesan besar terhadap penerimaan mesej.
Kedua, kita perlu mampu mengawal emosi. Dalam situasi marah atau tertekan, kecenderungan menggunakan bahasa kasar akan meningkat. Oleh itu, amalkan sikap mengambil sedikit masa untuk bertenang sebelum membalas e-mel atau memberikan respons kepada apa-apa isu.
Dalam dunia digital yang serba pantas, tindakan ‘berhenti dan berfikir sejenak’ seperti dicadangkan ini sering diabaikan. Percayalah cakap saya, tindakan mudah itu boleh mengelakkan penyesalan di kemudian hari. Terlanjur perahu boleh dimudik, terlanjur kata buruk padahnya.
Ketiga, kita perlu ada kesedaran konteks. Misalnya, bahasa pertuturan yang sesuai dalam kalangan rakan sebaya mungkin tidak sesuai dalam komunikasi rasmi atau di hadapan khalayak umum.
Maka, kita perlu bijak menyesuaikan gaya bahasa, kosa kata dan intonasi mengikut situasi.
Seorang penulis atau penceramah yang peka terhadap konteks akan lebih berhati-hati dalam menggunakan humor, sindiran atau bahasa kiasan. Hal ini terpakai dalam komunikasi media sosial, ucapan seorang ahli politik mahupun cara seorang ketua jabatan mengendalikan mesyuarat.
Kita perlu sentiasa sedar hakikat setiap perkataan mempunyai ‘jejak’ yang sukar dipadam, terutama dalam dunia digital. Apa yang ditulis hari ini boleh disalin, dikongsi dan disebarkan tanpa kawalan.
Oleh itu, sebelum kita mengeluarkan sebarang kenyataan, sama ada melalui e-mel, media sosial atau ucapan awam, amat wajar untuk bertanya kepada diri sendiri: Adakah kata-kata ini perlu, sahih dan disampaikan pula dengan cara yang baik?
Soalan mudah ini boleh menjadi penapis awal yang berkesan.

KEPENTINGAN PENDIDIKAN
Dalam usaha membudayakan kesantunan berbahasa, pendidikan memainkan peranan penting. Di sekolah, penekanan sering diberikan kepada aspek tatabahasa dan penulisan formal tetapi kurang perhatian kepada kepentingan etika komunikasi.
Suka saya menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) mengintegrasikan elemen kesantunan berbahasa secara lebih sistematik dalam kurikulum.
Tindakan ini penting agar generasi muda bukan sahaja fasih berbahasa tetapi juga bijak menggunakan dengan penuh santun dan berwibawa.
Kalaupun kurang diberi perhatian, aspek kesantunan berbahasa bukan sekadar peraturan sosial yang perlu dipatuhi tetapi nilai yang mencerminkan siapa kita sebagai individu dan masyarakat.
Frasa ‘bahasa jiwa bangsa’ dan ‘bahasa menunjukkan bangsa’ bukan sekadar slogan kosong. Bahasa yang digunakan bukan sahaja berfungsi menyampaikan makna, malah juga mampu memelihara hubungan, meredakan konflik dan membina identiti seorang pemimpin. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)











