Mukadimah
KETIKA Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin bergelut dengan konflik dalaman, perebutan pengaruh dan percanggahan pendirian antara parti komponen, Perikatan Nasional (PN) pula cuba menampilkan imej lebih tersusun selepas melalui fasa pergolakan sendiri pada penghujung tahun lalu.
Beberapa bulan lalu, PN berdepan cabaran besar termasuk pertukaran kepimpinan, perebutan kuasa dan tindakan beberapa pimpinan meninggalkan parti.
Namun, konflik tersebut berjaya diselesaikan melalui proses penstrukturan semula dan ‘pembersihan’ dalaman yang dianggap perlu bagi memastikan parti kembali fokus kepada agenda perjuangan, sebagaimana diberitahu Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), HARRIS IDAHAM RASHID.
Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau percaya PN kini berusaha meyakinkan pengundi khususnya orang Melayu bahawa gabungan itu masih menjadi alternatif utama dalam memperjuangkan agenda Melayu dan bumiputera, selain tampil lebih stabil, tersusun serta bersedia mengambil alih pentadbiran negara sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat.
Bagaimana momentum PN ketika ini, khususnya selepas pergolakan yang berlaku dalam PH?
PN sememangnya berdepan pelbagai cabaran pada Disember tahun lalu. Namun menjelang Mei lalu, keadaan semakin stabil dan terkawal. Kami bertindak pantas menyingkirkan pihak-pihak yang dianggap menjejaskan kestabilan Bersatu dan seterusnya gabungan PN sendiri.
Dalam masa sama, kita juga melihat hubungan antara PH dan BN semakin hari semakin retak dan tidak stabil. Pergolakan dalaman serta perebutan pengaruh dalam gabungan tersebut kini semakin jelas kelihatan.
Daripada sudut pandang PN, keadaan ini menunjukkan gabungan tersebut semakin retak dan hanya menunggu masa untuk berdepan konflik yang lebih besar.
Malah, semakin ramai melihat kerjasama itu lebih bersifat politik demi mengekalkan kuasa pemerintahan semata-mata, bukannya dibina atas keserasian perjuangan dan prinsip yang benar-benar kukuh.
Adakah sokongan pengundi Melayu terhadap PN semakin mengukuh atau masih bersifat tidak stabil?
Orang Melayu ketika ini berdepan dengan pilihan antara tiga gabungan utama dalam landskap politik negara dan keadaan ini mewujudkan dilema tersendiri dalam kalangan pengundi.
Bagi sebahagian pengundi, jika memilih BN, ia dilihat berkemungkinan besar akan terus bekerjasama dengan PH dan DAP dalam bentuk kerajaan campuran. Situasi ini menyebabkan BN tidak lagi dilihat sebagai sebuah gabungan yang benar-benar berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan secara solo.
Dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu, wujud juga persepsi kecewa atau rasa tertipu apabila mandat pilihan raya membawa kepada pembentukan kerajaan campuran selepas pilihan raya.
Apabila memasuki tahun-tahun pentadbiran semasa, terdapat juga perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai beberapa dasar yang mula diperkenalkan atau diperkemaskan, termasuk isu berkaitan pendidikan seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang dilihat memberi persepsi berbeza dalam kalangan pengundi. Perkara ini turut mempengaruhi sentimen politik semasa.
Dalam konteks ini, PN dilihat oleh sebahagian pengundi Melayu sebagai satu alternatif yang masih mampu membawa agenda Melayu dan Islam sebagai teras utama perjuangan.
Walaupun PN juga tidak terlepas daripada cabaran dan kelemahan tersendiri, sebahagian pengundi melihatnya sebagai pilihan yang lebih jelas dari segi pendirian politik dan hala tuju.
Pada masa sama, keadaan dalam PH sendiri turut menjadi perhatian apabila wujud persepsi bahawa gabungan tersebut masih berdepan dengan ketidakseimbangan dalaman dan perbezaan pendirian antara parti komponen.
Ini menyebabkan sebahagian pengundi semakin berhati-hati dalam menilai kestabilan dan konsistensi gabungan tersebut.
Jadi, PN pada saat ini semakin kukuh, betul?
Kerapuhan yang dimaksudkan berlaku sekitar Disember lalu apabila tercetus perebutan kuasa Menteri Besar di Perlis, pertukaran kepimpinan Perikatan Nasional (PN) serta tindakan beberapa pimpinan meletakkan jawatan. Namun, semua isu itu telah dimuktamadkan pada Januari dan Februari.
Pada Mei, PN sudah mencapai kesepakatan dengan pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi dan ketua pembangkang, selain menerima parti-parti komponen Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai pakatan strategik.
Perkembangan ini menunjukkan PN kini bergerak ke arah yang lebih cermat, kuat dan bersatu.
Memang ada beberapa pemimpin yang meninggalkan parti, tidak semua boleh dikekalkan jika wujud agenda yang boleh melemahkan organisasi, termasuk cubaan menjatuhkan kepimpinan parti. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menjadi ‘barah’ dalaman.
Apa yang berlaku dalam PKR susulan konflik melibatkan Datuk Seri Rafizi Ramli, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah Anwar menjadi contoh bagaimana perpecahan dalaman boleh memberi kesan jangka panjang kepada parti.
Justeru, langkah Bersatu menyingkirkan unsur yang berpotensi melemahkan parti dilihat sebagai tindakan demi memperkukuh organisasi. Kekosongan yang ada juga diyakini mampu diisi dengan bakat dan kepimpinan baharu.
Bersatu yakin sudah bersih daripada golongan ‘pengkhianat’ itu?
Selepas proses pembersihan’ itu, Bersatu kini dilihat lebih benar-benar bersatu. Sebagai pemimpin di peringkat nasional, saya boleh mengesahkan keadaan dalam Bersatu hari ini jauh lebih tenang dan stabil. Tiada lagi kem-kem tertentu dengan agenda tersendiri atau usaha menjatuhkan sesama sendiri.
Semua pihak kini mempunyai fokus dan matlamat yang sama iaitu mengukuhkan parti, mengekalkan kepimpinan sedia ada hingga tamat penggal, memperkasakan organisasi di peringkat nasional serta bersiap sedia mengambil alih kerajaan bersama rakan-rakan dalam IPR.
Apabila parti tidak lagi dibelenggu politik dalaman, tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada objektif perjuangan.
Sebelum ini, ketika kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih bersama parti, pelbagai spekulasi sering timbul termasuk gerakan akuan bersumpah (SD), jumlah sokongan ahli Parlimen dan persaingan siapa bakal menjadi calon Perdana Menteri. Kini, perkara seperti itu tidak lagi kedengaran.
Bagaimana dengan dakwaan Bersatu akan sertai PH?
Setakat ini tiada sebarang perancangan ke arah itu. Sebaliknya, fokus Bersatu bersama Pas, Gerakan, MIPP dan IPR adalah memperkukuh PN sebagai blok pembangkang untuk berdepan PH pada pilihan raya umum akan datang.
Matlamat utama adalah memastikan PN mampu melepasi 111 kerusi bagi membentuk kerajaan sendiri. Namun, jika jumlah itu tidak dicapai, kebijaksanaan kepimpinan PN akan diuji untuk menentukan bentuk kerjasama politik yang sesuai selepas pilihan raya.
Bagaimanapun, buat masa ini pendirian parti kekal jelas iaitu tidak bercadang bekerjasama dengan DAP.
Tapi jika bersama parti-parti Melayu lain?
Bersatu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya objektif dan hala tuju semua parti selari.
Sebagai parti teras Melayu dan bumiputera, Bersatu meletakkan agenda serta kepentingan Melayu sebagai keutamaan. Justeru, sekiranya wujud kerjasama dengan parti yang dilihat mahu mengurangkan kedudukan atau kuasa Melayu, ia akan bercanggah dengan prinsip perjuangan parti.
Atas sebab itu juga Bersatu mengambil keputusan keluar daripada PH sebelum ini kerana merasakan sukar untuk mencapai objektif perjuangan sebagai parti Melayu bumiputera dalam gabungan tersebut. – UTUSAN










