15 PPS tutup sebab air pasang besar

15 PPS tutup sebab air pasang besar

KEADAAN rumah penduduk yang dinaiki air di Sri Medan dan Sri Gading Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini ditutup ekoran air pasang besar menyebabkan kira-kira 1,000 mangsa banjir yang ditempatkan di situ terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Setakat ini, fenomena air pasang besar itu dijangka berlarutan sehingga Ahad ini memburukkan lagi banjir terutama di Sri Medan, Sri Gading, Ayer Hitam dan Parit Raja.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali berkata, walaupun cuaca cerah sejak empat hari lalu, paras air banjir dijangka terus meningkat berikutan fenomena air pasang besar.

“Keadaan banjir yang semakin buruk menyebabkan 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sri Medan, Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. Mangsa di situ dipindahkan ke kawasan selamat.

“Belum pernah ketika banjir PPS ditutup. Keadaan PPS ini memberi kesan kepada pengurusan bencana di peringkat daerah kerana kita perlukan lokasi pemindahan baharu dengan segera,” katanya ketika ditemui di Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Sempadan Laut, Parit Raja, di sini.

Menurut beliau, ini adalah kali pertama PPS yang menjadi penempatan sementara mangsa ditenggelami air dan bukan satu atau dua PPS tetapi 15 buah.

Nasri berkata, susulan penutpan 15 PPS, mangsa banjir dipindahkan ke kolej komuniti dan kolej kediaman UTHM.

“Seramai 1,000 mangsa terjejas banjir kini dipindahkan ke lokasi PPS yang baharu membabitkan Kolej Kediaman Perwira UTHM. Ini juga merupakan pelan tindakan segera yang dirangka bagi operasi penyelamatan dan penempatan PPS,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 11 masjid dan surau di daerah ini turut dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

“Kami menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya masjid dan surau di daerah ini dijadikan PPS.

“Terdapat 11 masjid dan surau di daerah ini diluluskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diperkenankan Sultan Ibrahim sebagai PPS, berikutan sejak hari pertama bah kita alami kesulitan untuk sediakan PPS segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN