Suruhanjaya kesihatan dibawa ke Parlimen

Suruhanjaya kesihatan dibawa ke Parlimen

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin (tengah) menyerahkan cendera mata kepada Dr. Noor Hisham Abdullah di Subang Jaya, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan me­nu­buhkan suruhanjaya per­khid­­­matan kesihatan akan di­ben­tangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan yang terkandung dalam kertas putih kesihatan itu turut mengete­ngahkan perkara-perkara lain diinginkan rakyat dalam menaik taraf pengurusan dan pentadbiran sistem kesihatan negara.

Katanya, dokumen tersebut perlu dibahaskan bagi mengambil kira setiap idea dan cadangan semua pihak sebelum direali­sasikan dalam sistem perkhidmatan kesihatan negara.

“Itu sebab kita ada kertas putih kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen dan ini adalah satu cadangan daripada rak­yat, apa yang umum inginkan dan bagaimana kita nak ubah cara pentadbiran organisasi.

“Ini juga terbuka kepada perbincangan dan persetujuan ahli parlimen daripada dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) untuk kita memajukan lagi perkhidmatan  ke­sihatan dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Global Surgery Initiative sempena Ulang Tahun ke-60 Malaysian Society of Anaesthesiologists (MSA).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sudah tiba ma­­­sanya sistem kesihatan dirombak bukan sahaja membabitkan perjawatan tetapi me­rangkumi perkhidmatan kesihatan, kewangan serta pen­cegahan pe­nyakit dengan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Per­khidmatan Kesihatan.

Pertambahan populasi 32.9 juta penduduk pada tahun ini di samping 15 peratus rakyat berusia lebih 60 tahun menje­lang 2030 menuntut reformasi perkhidmatan kesihatan dilaksanakan agar tidak terus membebankan kewangan negara.

Ini bermakna lebih ramai doktor pakar diperlukan terutama dalam penjagaan geria­trik disebabkan pe­ningkatan populasi penuaan dalam tempoh kurang dari 10 tahun.

Selain itu, isu doktor kontrak yang tertangguh sedang­kan setiap tahun kira-kira 3,000 graduan perubatan memasuki sistem masih belum dapat diselesaikan sekiranya urusan pengambilan dan penyerapan jawatan masih di bawah Jabatan Perkhid­matan Awam (JPA).

Mengulas isu doktor kontrak, Dr. Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) memang mengharap­kan pe­nambahan jawatan tetap, namun ia di luar kawalan kementerian tersebut.

“Ia di bawah Jabatan Perkhid­matan Awam dan Kementerian Kewangan iaitu dari segi peruntukan serta sebagainya.

“Memang kita akan cuba. Tahun ini kita dapat lebih kurang 5,000 jawatan tetap, itu merupakan satu perkembangan yang baik tetapi setiap tahun doktor kembali, jadi sekiranya kita tawar (jawatan) doktor kontrak dengan jawatan tetap, mereka akan tunggu lebih lama.

“Jadi untuk kurangkan jangka masa menunggu, kita bagi kontrak. Penyelesaian juga bukan di pihak KKM, ini berkaitan jawatan, bergantung pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan JPA,” katanya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM tidak mempunyai sebarang etika kod pemakaian untuk orang awam mahupun pesakit yang mendapakan rawatan di pusat kesihatan kerajaan.

Katanya, isu pemakaian di hospital tidak berbangkit.

“Pakaian tidak ada isu. Kalau kecemasan atau pun datang ke hospital tidak ada isu pakaian tetapi kalau kita nak pergi tempat-tempat agama contohnya masjid, kuil dan sebagainya mungkin ada isu pemakaian.

“Tetapi di KKM bila ada kecemasan, pakaian bukan isu. Jadi kita telah pun membawa perkara ini, contohnya bila orang sakit datang ke hospital dia nak rawatan. Timbul sedikit kebimbangan yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN