ARAU: Rumah sewa di luar kampus yang terhad terutama di kawasan luar bandar menyebabkan pemilik kediaman terlibat mengenakan harga yang tinggi kepada pelajar.
Difahamkan, sewa rumah yang dikenakan antara RM850 sehingga mencecah RM1,500 sebulan dan jika mengikut ‘kepala’ pula sekitar RM150 atau RM200.
Seorang pelajar tahun dua universiti di sini yang dikenali sebagai Pojan, 21, berkata, menyewa di luar kampus dalam keadaan kadar sewa rumah yang agak tinggi merumitkan dan membebankan mereka.
Selain itu, katanya, dalam keadaan rumah sewa yang terhad berkemungkinan juga menjadi pendorong pemilik mengenakan sewa yang agak tinggi.
“Sewa di luar agak rumit. Sewa agak mahal antara RM850 dan ada yang mencecah sehingga RM1,500. Kalau ikut kepala ada sekitar RM150 sehingga RM200. Itu tidak termasuk bil air dan elektrik lagi.
“Kami tinggal enam orang dalam sebuah rumah ini dengan sewa RM850 sebulan. Duit pinjaman hanya sekitar RM2,000 satu semester dan saya perlu berjimat cermat. Kebanyakan pelajar ijazah ini lazimnya perlu menetap di luar kampus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi pelajar tahun dua dikenali sebagai Haikal, 21, berkata, terdapat pemilik rumah yang menetapkan harga tinggi namun tidak menyediakan kelengkapan rumah termasuk peti ais atau mesin basuh.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga pemilik yang menyediakan kelengkapan rumah seperti kediaman yang dihuni mereka ketika ini.
“Komitmen bulanan saya sekitar RM300 sebulan dan terpaksalah berjimat cermat. Kalau sewa rumah murah sikit mungkin dapat membantu meringankan beban kami.
“Pelajar yang menyewa di luar kampus agak ramai dalam keadaan rumah yang tidak banyak. Dan disebabkan itu juga harga sewa itu agak mahal,” kata anak kesembilan dari 10 beradik itu.
Katanya, kesibukan jadual pembelajaran menyebabkan ramai dalam kalangan pelajar tidak sempat melakukan kerja sambilan bagi membantu mencari pendapatan tambahan. – UTUSAN










