Rujuk peguam jika akaun masih beku - Muhyiddin

Rujuk peguam jika akaun masih beku – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, di Kompleks Kejiranan Presint 8, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan merujuk kepada peguam parti bagi tindakan selanjutnya jika akaun parti mereka masih dibekukan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya akaun yang dibekukan itu ada asas untuk dilepaskan dan dicairkan semula.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melepaskan akaun itu beberapa hari lalu.

“Kita sudah hantar surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki supaya mempertimbangkan rayuan ini dalam tempoh 14 hari.

“Saya yakin SPRM adalah badan profesional dan agensi itu tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak termasuk parti pemerintah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin, di sini hari ini.

Katanya, beliau berharap akaun parti dicairkan semula untuk memudahkan urusan parti terutama Perikatan Nasional (PN) bagi persiapan pilihan raya negeri (PRN).

Muhyiddin berkata, beliau akui tindakan pembekuan parti itu merencatkan usaha partinya untuk mengatur persediaan menjelang PRN.

Menurutnya, pihaknya tidak mengeluarkan peruntukan yang ada dalam simpanan akaun untuk membayar gaji, elaun kakitangan dan urusan PRN.

Mengulas mengenai potensi PN menjelang PRN nanti, Muhyiddin berkata, beliau yakin sebahagian besar yang menyokong PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu akan terus menyokong pada PRN nanti.

Katanya, beliau yakin PN boleh menguasai tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain berharap dapat meraih seberapa banyak kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Muhyiddin berkata, keyakinan itu disandarkan kepada sikap rakyat ketika ini yang tidak percaya kepada keupayaan kerajaan menguruskan masalah rakyat.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya