Malaysia kini sedang memasuki satu fasa politik yang semakin tidak menentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Jika sebelum ini landskap politik negara banyak berkisar kepada pertarungan antara kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN), tetapi akhir-akhir menunjukkan satu poros politik baharu mungkin sedang terbentuk.
Ada pemerhati politik mengatakan keretakan hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin ketara. Manakala kemunculan gerakan baharu dipimpin Rafizi Ramli melalui parti Bersama serta usaha penyusunan semula kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin membuka kemungkinan wujud penjajaran politik baharu yang boleh mengubah peta kuasa Melayu-Islam di negara ini.
Walaupun semua itu masih bersifat subjektif walaupun ramai mendakwa Bersama yang diketuai Rafizi berjaya menggugat keutuhan PKR, namun untuk kelangsungan hidup menjelang PRU16, sudah tentu mereka memerlukan rakan gabungan.
Dalam situasi sekarang sukar untuk sebuah parti bergerak bagi membentuk kerajaan. Bukan sehaja disebabkan polarisasi pengundi, tetapi parti politik itu sendiri yang berbagai-bagai menyebabkan kelompok pengundi yang besar berpecah kepada kumpulan kecil. Mereka ini hanya akan menyokong parti dan pemimpin yang mereka idolai, tanpa memikirkan boleh membentuk kerajaan atau tidak.
Perkembangan itu menjadikan PRU16 bukan lagi sekadar pertembungan tradisional antara PH-BN menentang PN, tetapi berpotensi menjadi pertandingan pelbagai penjuru dengan kemunculan blok reformis baharu dan juga kemungkinan pakatan semula dalam kalangan parti Melayu.
Pas dilihat berada dalam kedudukan paling strategik ketika ini. Sebagai parti terbesar dalam PN dari segi kerusi Parlimen dan jentera akar umbi, ia mempunyai kelebihan tersendiri untuk menentukan arah gabungan politik pembangkang. Namun hubungan parti itu dengan Bersatu dipercayai tidak lagi sekuat dahulu.
Punca keretakan bukan sahaja berkaitan perebutan pengaruh dalam PN, tetapi juga persoalan siapa bakal menjadi dominan dalam blok pembangkang Melayu selepas era Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bersatu kini dikatakan berdepan masalah dalaman serius sehingga lebih sedozen pemimpinnya dilaporkan disingkirkan akibat konflik dalaman termasuk Hamzah yang merupakan bekas Timbalan Presiden yang mesra dengan Pas.
Disebabkan itu, Pas dilihat agak berhati-hati untuk terus bergantung kepada Bersatu sebagai rakan strategik utama. Parti Islam itu sedar bahawa survival politik jangka panjang memerlukan gabungan lebih luas, khususnya untuk menembusi kawasan bandar dan pengundi atas pagar.
Di sinilah muncul faktor Rafizi melalui Bersama dan Hamzah melalui resetnya.
Rafizi, yang pernah dianggap pewaris politik Anwar, kini membawa naratif bahawa PKR telah menyimpang daripada idealisme reformasi asal. Bersama cuba diposisikan sebagai platform baharu yang lebih segar, reformis dan bebas daripada budaya patronage politik lama.
Walaupun ideologi Pas dan Rafizi kelihatan berbeza, politik Malaysia sering membuktikan bahawa musuh dan kawan boleh berubah mengikut keperluan semasa. Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu walaupun perbezaan ideologi sangat besar.
Apa yang mungkin menyatukan Pas dan gerakan Rafizi bukan soal ideologi sepenuhnya, tetapi keperluan strategik menghadapi dominasi kerajaan perpaduan.
Pas mempunyai kekuatan akar umbi Melayu-Islam yang sangat kukuh terutama di Pantai Timur dan utara Semenanjung. Namun parti itu masih berdepan cabaran besar untuk memecahkan dominasi PH di kawasan bandar, separa bandar dan dalam kalangan pengundi muda profesional.
Sebaliknya, Rafizi mempunyai pengaruh kuat dalam kelompok pengundi bandar, kelas menengah dan segmen reformis yang kecewa dengan kerajaan perpaduan tetapi masih sukar menerima Pas sepenuhnya.
Gabungan tidak rasmi atau kerjasama taktikal antara kedua-dua pihak boleh mencipta formula politik baharu yang menarik. Pas memperoleh akses kepada pengundi bandar dan reformis, manakala Bersama mendapat manfaat daripada jentera akar umbi Pas yang sangat tersusun.
Namun persoalan besar ialah: di mana kedudukan Hamzah Zainuddin?
Hamzah kini dilihat mengetuai satu kem bekas pemimpin Bersatu melalui reset. Walaupun beliau masih belum memiliki atau menyertai mana-mana parti, tetapi faktor Ahli Parlimen Larut itu dalam mencorak paten pada PRU16 tidak boleh dipandang remeh.
Walaupun masih belum menemukan ‘rumah’ baharu, tetapi ramai yakin pengaruh Hamzah boleh menggugat kerjasama Pas dengan Bersatu andainya parti pimpinan Muhyiddin itu berkeras enggan berkerjasama dengan mana-mana parti yang dianggotai Hamzah.
Hamzah mempunyai kekuatan tersendiri sebagai tokoh politik yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan pengurusan organisasi. Beliau juga dilihat lebih pragmatik berbanding beberapa tokoh lain dalam Bersatu.
Sekiranya hubungan Pas-Bersatu terus goyah, tidak mustahil Hamzah akan mengisikan kekosongan itu bagi menyusun semula blok politik Melayu yang lebih fleksibel.
Ini kerana Pas memahami bahawa Hamzah masih mempunyai pengaruh dalam kalangan bekas pemimpin pentadbiran, birokrat dan pengundi konservatif Melayu.
Malah terdapat kemungkinan Pas memainkan strategi “serampang dua mata” — bekerjasama secara taktikal dengan Bersama di beberapa kawasan bandar, sambil mengekalkan hubungan politik dengan kem Hamzah di kawasan majoriti Melayu. Jika ini berlaku, PRU16 bakal menyaksikan penjajaran politik paling kompleks sejak PRU14.
Kerajaan perpaduan pula tidak boleh memandang ringan perkembangan ini. Walaupun Anwar masih mempunyai majoriti Parlimen, keretakan dalam PKR dan hubungan PH-BN yang kadangkala tegang boleh memberi kesan besar terhadap keyakinan pengundi.
Sudah tentu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi kayu pengukur kepada hubungan dalam Kerajaan Perpaduan terutama PH dan Barisan Nasional (BN).
Tambahan pula BN awal-awal lagi sudah memukul canang bahawa mereka akan bertanding solo di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang mana ia mencetuskan ancaman dari PH untuk mengadakan PRU16 lebih awal.
Dalam masa sama, isu ekonomi dijangka menjadi faktor utama PRU16. Tekanan kos sara hidup, subsidi tenaga dan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi global boleh mempengaruhi pola pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan kelas menengah bandar.
Golongan ini mungkin tidak lagi mengundi berdasarkan sentimen tradisional parti, tetapi lebih tertarik kepada tawaran politik yang dianggap stabil, bersih dan mempunyai penyelesaian ekonomi yang meyakinkan.
Atas sebab itu, Pas juga mungkin menyedari bahawa pendekatan terlalu konservatif tidak lagi mencukupi untuk menawan Putrajaya. Parti itu perlu membina imej lebih sederhana dan pragmatik jika mahu diterima pengundi luar kubu tradisi mereka. Kerjasama dengan gerakan seperti Bersama boleh membantu proses tersebut.
Namun semua ini masih berada pada peringkat spekulasi politik. Banyak perkara boleh berubah dalam tempoh satu atau dua tahun menjelang PRU16. Politik Malaysia terkenal dengan kejutan saat akhir, lompat parti dan penjajaran semula yang sukar diramal.
Tetapi satu perkara semakin jelas — landskap politik negara sedang bergerak ke arah pembentukan blok baharu. Keretakan Pas-Bersatu, kemunculan Bersama pimpinan Rafizi dan manuver politik Hamzah Zainuddin menunjukkan bahawa era politik dua blok mungkin semakin berakhir.
Juga jangan dilupakan kemungkinan BN/UMNO kembali bekerjasama dengan Pas andainya hubungan mereka dengan PH retak selepas PRN Johor.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










