RM2.6 juta rugi ditipu scammer bagi bulan pertama tahun ini di Pahang - Utusan Malaysia

RM2.6 juta rugi ditipu scammer bagi bulan pertama tahun ini di Pahang

ABDUL RAZAK Mohd. Yusoff (kiri) menyampaikan sijil kepada anggota polis pada hari terakhir perkhidmatannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang menerima 119 laporan kes komersial terutama membabitkan penipuan ‘scammer’ dengan jumlah kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2.6 juta bagi bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, 83 peratus daripada jumlah kes komersial dilaporkan Januari lalu itu melibatkan penipuan secara dalam talian.

Menurutnya, ia menimbulkan kebimbangan berikutan masih terdapat ramai mangsa yang tidak bersalah kehilangan wang simpanan akibat ditipu sindiket ‘scammer’.

“Pihak polis begitu prihatin dengan jumlah kes tersebut dan saya sendiri kecewa dengan individu termasuk profesional, kakitangan kerajaan dan pelajar yang menjadi mangsa.

“Terdahulu ada kes seorang guru kehilangan RM233,480 daripada wang simpanan pencen suaminya, dan terdapat juga seorang jururawat yang meminjam lebih RM150,000 daripada sebuah bank selepas ditipu ahli sindiket penipuan Macau Scam.

“Mereka (mangsa) sangat naif dan mempercayai suspek yang mendakwa mangsa dikaitkan dengan kes jenayah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd. Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin yang akan berkhidmat sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai perlu menyedari kewujudan pelbagai kes penipuan kerana ia tidak boleh dipandang mudah memandangkan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa sindiket.

“Terdapat pelbagai jenis penipuan cuba dilakukan setiap hari dengan pelbagai taktik walaupun pihak polis telah meningkatkan pelbagai kesedaran mengenai kes-kes penipuan yang berlaku sekarang ini.

“Justeru itu, orang ramai terus dinasihatkan lebih berhati-hati pada setiap masa terutama apabila menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ramli turut berkongsi tentang persaraan Abdul Razak yang merupakan seorang ‘pejuang berani’ apabila pernah menerima anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), peringkat Persekutuan di negara ini.

Katanya, Razak merupakan penerima SP yang masih dalam perkhidmatan dan sudah menghabiskan lebih 30 tahun perkhidmatannya sebagai komando polis VAT 69.

“Terdahulu, Razak pernah berperanan dalam mengadakan rundingan memujuk militan Al-Ma’unah menyerah diri pada tahun 2000. Dengan persaraan ini, polis kehilangan satu butir bintang yang sangat bernilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya