Banglo, kondominium kosong berpotensi jadi sarang scammer

Banglo, kondominium kosong berpotensi jadi sarang scammer

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lambakan rumah banglo dan kondominium yang terbiar kosong di seluruh negara berpotensi tinggi dieksploitasi oleh sindiket penipuan antarabangsa untuk dijadikan sebagai pusat operasi scammer yang baharu.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim susulan tindakan agresif dan lebih ketat oleh pihak berkuasa di beberapa negara yang sebelum ini menjadi pangkalan operasi sindiket berkenaan.

Menurut beliau, maklumat daripada rakan sejawat MHO di Myanmar, Laos dan Kemboja mengesahkan wujud gerakan pemindahan besar-besaran oleh sindiket terbabit yang kini melihat Malaysia dan Taiwan sebagai destinasi operasi pilihan mereka.

“Format operasi mereka adalah berpindah-randah. Kalau ‘panas’ di sana, dia pergi ke Malaysia, sebelum ini mereka pergi ke Thailand, bila Thailand buat operasi, dia pergi ke Malaysia. Nanti kalau Malaysia buat operasi, dia pindah tempat lain pula.

“Kita tidak mahu satu hari nanti ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kemboja pula menuduh Malaysia sebagai sarang penipuan, sedangkan sebelum ini kita yang lantang menyelamatkan mangsa di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, sindiket jenayah penipuan yang selama ini dikenal pasti aktif di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja kini dikesan memindahkan pangkalan dan operasi di negara ini berikutan penguatkuasaan yang semakin ketat di negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishamuddin turut mendedahkan, maklumat awal mengenai kewujudan pusat operasi di negara ini diperoleh hasil risikan dan pengakuan mangsa-mangsa penipuan tawaran pekerjaan yang berjaya dibawa pulang oleh MHO sebelum ini.

Susulan itu, beliau mengesahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menghubungi MHO dan pihaknya akan menyerahkan maklumat terperinci dalam masa terdekat bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Justeru, bagi menyekat penularan rantaian jenayah itu, Hishamuddin menggesa agensi keselamatan di pintu masuk negara untuk memperketatkan kawalan sempadan termasuk menyenaraihitamkan individu asing yang mencurigakan daripada memasuki Malaysia.

Pada masa sama, beliau memohon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan unit keselamatan di setiap kawasan perumahan mempertingkatkan pemantauan serta kawal selia terhadap premis-premis kediaman yang disewakan terutamanya kepada warga asing.

Jelasnya, orang ramai boleh mengesan kehadiran pusat operasi ini menerusi corak aktiviti yang mencurigakan seperti sebuah rumah banglo atau unit kondominium yang dihuni terlalu ramai individu dan melebihi had kebiasaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN