Mangsa scammer boleh saman pihak bank

Mangsa scammer boleh saman pihak bank

PEMEGANG akaun mempunyai hak untuk membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan semakan awal terhadap sebarang isu berkaitan transaksi, caj atau tindakan bank yang dianggap tidak wajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelanggan boleh menyaman bank jika terdapat bukti kecuaian, kelemahan kawalan keselamatan atau sebarang bentuk salah laku yang boleh membawa kepada kehilangan wang pelanggan.

Klausa pengecualian dalam perjanjian bank bukan lesen untuk institusi kewangan melepaskan diri daripada tanggungjawab apabila berlaku kecuaian atau kelemahan sistem sehingga pelanggan mengalami kerugian.

Malah, klausa tersebut juga tidak memberi kekebalan mutlak kepada institusi kewangan.

Peguam Suzilawati Sidek berkata, tanggungjawab institusi kewangan bukan sahaja terikat kepada hubungan kontrak dengan pelanggan atas prinsip fidusiari atau tanggungjawab tinggi, malah turut melibatkan kewajipan berhati-hati bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes.

Katanya, pertikaian melibatkan institusi kewangan juga tidak hanya bergantung kepada akta dan kontrak semata-mata, sebaliknya boleh melibatkan pihak berkuasa kawal selia sebelum sesuatu kes dibawa ke mahkamah.

“Pemegang akaun mempunyai hak untuk membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan semakan awal terhadap sebarang isu berkaitan transaksi, caj atau tindakan bank yang dianggap tidak wajar.

“Ia sebagai platform penyelesaian alternatif pertikaian kewangan tanpa perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan sebuah institusi kewangan tempatan bertanggungjawab atas kecuaian dalam memantau akaun pelanggannya sehingga menyebabkan kerugian RM166,000 akibat transaksi tidak dibenarkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Maimoonah Aid berkata, terdapat percanggahan antara rekod syarikat telekomunikasi dengan laporan transaksi yang dikemukakan di mahkamah.

Beliau turut mendapati tiada pesanan ringkas (SMS) dihantar kepada pelanggan bagi memaklumkan beberapa transaksi mencurigakan berkenaan.

Sementara itu, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, bank tidak semestinya terlepas daripada tanggungjawab hanya kerana pelanggan menjadi mangsa penipuan atau transaksi tidak dibenarkan dilakukan pihak ketiga.

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, pelanggan masih boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya dapat dibuktikan kerugian dialami berpunca daripada kecuaian, kegagalan sistem, kelemahan kawalan keselamatan atau kegagalan bank mengambil langkah munasabah untuk mengesan dan menghentikan transaksi mencurigakan.

“Hubungan antara bank dan pelanggan bukan sekadar hubungan kontrak biasa. Bank memegang dana pelanggan dan mengendalikan transaksi kewangan pelanggan, maka bank mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan arahan pelanggan dengan berhati-hati.

“Bank juga perlu memastikan sistem perbankan elektroniknya mempunyai tahap keselamatan dan pemantauan yang munasabah,” katanya.

Menurut Muhammad Akram, tanggungjawab itu termasuk keupayaan mengesan corak transaksi luar biasa, transaksi bernilai tinggi yang dilakukan secara mendadak, perubahan ketara dalam pola penggunaan akaun atau transaksi berturut-turut yang tidak selaras dengan profil biasa pelanggan.

Katanya, perkara utama dalam kes seumpama itu bukan semata-mata sama ada pelanggan ditipu, sebaliknya sama ada terdapat fakta menunjukkan bank gagal bertindak apabila wujud tanda-tanda jelas transaksi mencurigakan.

“Klausa pengecualian dalam terma dan syarat perbankan tidak boleh dianggap sebagai lesen mutlak untuk melepaskan bank daripada semua bentuk tanggungjawab.

“Memang benar kebanyakan perjanjian bank mengandungi klausa yang mengehadkan liabiliti bank, khususnya apabila pelanggan cuai menjaga kata laluan, TAC, OTP atau maklumat perbankan. Namun, klausa sedemikian tetap tertakluk kepada penelitian mahkamah,” katanya.

Muhammad Akram berkata, dalam undang-undang kontrak Malaysia, klausa yang menyekat hak seseorang untuk menuntut remedi melalui proses mahkamah secara mutlak juga boleh menimbulkan isu di bawah Seksyen 29 Akta Kontrak 1950.

Katanya, kedudukan berhubung klausa pengecualian pernah dibincangkan Mahkamah Persekutuan dalam kes CIMB Bank Berhad v Anthony Lawrence Bourke, apabila klausa yang menyekat tuntutan secara mutlak didapati tidak boleh dikuatkuasakan.

“Cuma, kes itu bukan berhubung isu scam, sebaliknya berkaitan klausa pengecualian. Namun, prinsipnya menunjukkan klausa sebegini tetap boleh diteliti mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan juga tidak menang secara automatik hanya kerana menjadi mangsa scam, sebaliknya perlu menunjukkan mereka mengambil langkah munasabah bagi melindungi maklumat perbankan dan membuat laporan segera kepada bank serta pihak berkuasa.

Pada masa sama, katanya, bank perlu membuktikan ia mempunyai sistem keselamatan memadai, notifikasi yang berfungsi, pemantauan transaksi munasabah serta tindak balas pantas selepas laporan dibuat.

Dalam pada itu, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, klausa pengecualian tidak memberi kekebalan mutlak kepada bank daripada tindakan undang-undang, terutama sekiranya wujud salah laku atau kecuaian jelas sehingga menyebabkan kerugian kepada pelanggan.

Katanya, adalah tidak adil untuk mana-mana bank dilepaskan daripada tanggungjawab sekiranya kerugian pelanggan berpunca daripada kecuaian pihak bank sendiri.

“Tujuan asas pelanggan menyimpan wang di bank adalah untuk memastikan wang mereka berada dalam keadaan selamat.

“Sekiranya wang simpanan itu lesap akibat kegagalan bank memastikan keselamatan akaun pelanggan, maka bank perlu menggalas sekurang-kurangnya sebahagian daripada liabiliti terhadap kerugian tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Shamil berkata, pelanggan tetap perlu membuktikan wujud kecuaian atau salah laku di pihak bank dan tindakan itu menyebabkan kerugian yang dialami.

Katanya, sekiranya kecuaian atau salah laku bank benar-benar dapat dibuktikan, pelanggan mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap institusi kewangan terbabit.

“Pelanggan perlu membuktikan bahawa wujud kecuaian atau salah laku di pihak bank, dan tindakan tersebut telah membawa kepada kerugian yang dialaminya.

“Jika perkara itu dapat dibuktikan, maka wujud satu kausa tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap bank,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN