Polis kerjasama kedutaan asing pantau warga asing cuba jadikan Malaysia hub scammer

Polis kerjasama kedutaan asing pantau warga asing cuba jadikan Malaysia hub scammer

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak kedutaan asing bagi memastikan mana-mana individu yang memasuki negara ini tidak menjadikan Malaysia sebagai hab kegiatan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan berhubung dakwaan sindiket penipuan dalam talian yang sebelum ini beroperasi di Myanmar, Laos, dan Kemboja, dipercayai memindahkan pusat operasi mereka di negara ini.

Namun, beliau menegaskan, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu termasuk warga asing yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi melakukan aktiviti penipuan.

“Negara ini sememangnya menjadi sasaran berikutan kemudahan serta infrastruktur yang tersedia namun polis sentiasa mengambil langkah proaktif bagi membanteras kegiatan tersebut.

“Kita sentiasa berhubung erat dengan pihak kedutaan yang ada di negara ini bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rusdi berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengenai sindiket peniouan antarabangsa kini dikesan menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi terbaharu bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa susulan operasi besar-besaran dilakukan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Rusdi berkata, pihaknya mengalukan-alukan MHO untuk menyalurkan maklumat berhubung dakwaan tersebut.

“Pegawai kita telah pun berhubung dengan pihak terlibat dan semestinya JSJK memandang serius dakwaan berkenaan dan kita sentiasa berwaspada dengan modus operandi sindiket penipuan,” tegasnya.

Sebelum ini, setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa MHO akan menyalurkan maklumat berhubung kewujudan pusat scammer itu kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Katanya, sindiket dipercayai melakukan taktik berpindah dan beroperasi secara rahsia di lokasi strategik selama lebih daripada enam bulan.

Pada 10 Mei lalu, JSJK yang mencatatkan peningkatan tangkapan dan pertuduhan bagi kes jenayah komersial dalam tempoh tiga bulan tahun ini setakat Mac berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam tempoh tiga bulan tahun lalu, tangkapan direkodkan seramai 7,084 orang, manakala tahun ini melibatkan 7,190 orang sekali gus peningkatan 1.5 peratus atau 106 orang.

Bagi tempoh sama juga, jumlah pertuduhan meningkat kepada 5,140 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 4,525 kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN