PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan perlu diadakan serentak untuk menjimatkan kos kerajaan, menjimatkan wang, tenaga dan masa pengundi serta mengelakkan aktiviti kempen yang berpanjangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan, perkara itu boleh dilakukan jika pemimpin enam negeri tersebut sepakat.
Katanya, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mendapat persetujuan daripada enam kerajaan negeri itu untuk menetapkan tarikh PRN, tetapi penting untuk mereka sepakat dari segi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
TARIKH
“Setiap kerajaan negeri berkenaan perlu lakukan pembubaran DUN masing-masing pada tarikh yang sama. Ini boleh dirundingkan demi kebaikan semua pihak terutama SPR dan rakyat selaku pengundi.
“Tak perlu buat kerja dua kali. Enam DUN terbabit boleh juga bubar pada tarikh-tarikh yang berbeza, tapi perlu berlaku pada tarikh-tarikh dalam minggu yang sama,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya, memandangkan undang-undang menyatakan tempoh 60 hari diberikan untuk menetapkan tarikh pilihan raya, SPR masih ada peluang untuk menetapkan tarikh PRN serentak.
“Dalam tempoh 60 hari dari tarikh DUN bubar, SPR tetapkan tarikh yang sesuai. Kuasa menetapkan hari mengundi di tangan SPR. Jika DUN bubar serentak, ada tempoh untuk SPR mengadakan PRN sebelum Julai 2023.
BUBAR
“Kerajaan enam negeri berkenaan wajar ketepikan ego dan kepentingan politik partisan yang sempit. Elok berbincang dan buat keputusan untuk bubar DUN serentak yang membolehkan SPR menetapkan hari pengundian jatuh pada hari yang sama,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh menyatakan bahawa pihaknya sememangnya mahu mengadakan PRN di enam buah negeri secara serentak kerana dapat memudahkan urusan terutama dari segi pengurusan termasuk melakukan penyelarasan serta persiapan awal.
Bagaimanapun, katanya, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan tarikh pembubaran bagi DUN di negeri yang terlibat memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Menteri-menteri besar Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan pada 23 Februari ini berhubung tarikh pembubaran DUN.
Dianggarkan sekitar RM450 juta diperlukan bagi mengadakan PRN di enam negeri berkenaan.
Kali terakhir pilihan raya diadakan di keenam-enam negeri tersebut adalah pada 9 Mei 2018. – UTUSAN










