KUCHING: Keputusan kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan ahli parlimen bagi tahun ini tidak menjejaskan pelaksanaan pelbagai projek yang dirancang untuk kepentingan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan yang dipotong hanya melibatkan projek kecil luar bandar (MRP).
“Ahli parlimen juga mempunyai peruntukan lain seperti mereka boleh memohon melalui agensi-agensi kerajaan yang melibatkan projek besar dan sebagainya,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, antara agensi kerajaan yang boleh membantu ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengesahkan laporan media tentang pengurangan peruntukan pembangunan ahli parlimen sehingga 65 peratus yang bertujuan mengawal perbelanjaan kewangan negara.
Malah peruntukan juga akan diberi secara berperingkat mengikut keperluan projek dan pengurangan itu menyaksikan ahli parlimen akan menerima peruntukan RM1.3 juta berbanding RM3.8 juta sebelum ini.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, kebiasaannya ahli parlimen akan mengenal pasti projek-projek yang boleh dilaksana untuk peruntukan yang diterima.
“Mereka akan mengenal pasti dalam RM1 juta yang diterima itu berapa projek boleh diguna dan dibangunkan dan ia akan dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk kelulusan melalui Pejabat Pembangunan Negeri (PPN),” kata beliau.
Menurutnya, apabila keadaan kewangan dan ekonomi semasa negara mengizinkan, peruntukan kepada ahli parlimen akan ditambah semula oleh Pusat.- UTUSAN










