Polis tumpaskan kumpulan individu aktif curi haiwan ternakan - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan kumpulan individu aktif curi haiwan ternakan

SEBAHAGIAN barangan yang dirampas dari enam suspek yang ditangkap polis disyaki terlibat terlibat dalam beberapa kes curi haiwan ternakan di Negeri Sembilan dan Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan warga tempatan yang aktif dalam kes curi haiwan ternakan di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang selepas enam lelaki berjaya ditangkap di Maran dan Jerantut, Pahang, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, tangkapan tersebut susulan laporan yang diterima Balai Polis Nilai pada 2 Februari lalu dari seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang merupakan penternak lembu dan kerbau di Jalan Labu, Nilai di sini.

Jelas beliau, lelaki tersebut telah memaklumkan pada hari tersebut iaitu kira-kira pukul 7.30 petang telah terserempak dengan suspek yang disyaki cuba untuk mencuri haiwan ternakan miliknya.

“Melihat kehadiran pengadu, suspek telah melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan mencuri.

“Hasil maklumat awam, pada 4 Februari, pihak polis telah berjaya menangkap enam lelaki warga tempatan berumur antara 17 tahun hingga 34 tahun di Maran dan Jerantut, Pahang kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga batang paip besi yang telah diubah suai, tujuh picagari, alat renjatan elektrik, cecair disyaki pelali dan beberapa peralatan curi haiwan ternakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes curi haiwan ternakan di Negeri Sembilan dan Pahang. 

“Sehubungan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan empat kes curi haiwan ternakan iaitu dua kes di daerah Nilai, Negeri Sembilan, satu kes di daerah Jerantut, Pahang dan satu kes di daerah Kuala Lipis, Pahang. 

“Anggaran kerugian dianggarkan RM72,000. Pihak polis menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkenaan jenayah kepada pihak polis untuk membanteras jenayah,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya