Peruntukan Ahli Parlimen dikurangkan, kawal kewangan negara

Peruntukan pembangunan Ahli Parlimen dikurangkan, kawal kewangan negara

ANWAR Ibrahim dan Aminuddin Harun bergambar bersama pekerja-pekerja Warung Pak Salleh di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson, selepas meluangkan masa makan tengah hari di gerai berkenaan hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan kepada ahli-ahli Parlimen tahun ini adalah dikurangkan sebagai langkah keperluan mengawal kewangan negara.

Jelas Perdana Menteri, peruntukan yang diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri itu bagaimanapun tetap akan disalurkan namun secara berperingkat dan mengikut keperluan.

Ujar beliau, ia termasuklah untuk projek-projek yang mendesak seperti pembaikan jalan yang rosak dan mendalamkan sungai.

“Ia peruntukan pembangunan untuk ahli-ahli Parlimen, ia diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri, tetapi ekoran kekangan ekonomi, jadi saya ingat biarlah ia diberikan secara berperingkat , jadi dana untuk ahli-ahli Parlimen juga terlibat.

“Untuk memberikan contoh yang awal, ahli Parlimen juga sanggup untuk kurangkan, ia sumbangan pembangunan yang diselaraskan oleh Parlimen dan pejabat daerah, ia memberikan satu mesej tentang keperluan kita mengawal kewangan negara.

“Walaupun ada permohonan untuk melihat semula, tetapi perkara ini projek-projek yang mendesak, surau rosak, jalan ataupun beberapa isu seperti mengorek sungai, dan ada hal-hal yang penting, kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Beliau menambah, bagaimanapun jumlah peruntukan tersebut pasti akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan negara bertambah baik pada masa hadapan.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau meluangkan masa untuk makan tengah hari di Warung Pak Salleh, Kampung Baru Sirusa di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Media sebelum ini melaporkan yang menurut sumber, peruntukan kawasan untuk ahli Parlimen penyokong kerajaan (back-bencher) untuk tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Sementara itu, Anwar menjelaskan, keputusan yang diambil tersebut kerana beliau sangat tegas dalam isu governans, rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia termasuk berkaitan kewangan parti-parti politik sebagai mana siasatan yang dijalankan terhadap akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

“Apa juga alasan, kamu kena jelaskan kepada rakyat, bagaimana parti politik boleh melakukannya, bagaimana dalam keadaan Covid-19, ketika orang tiada kerja, tiada wang, parti boleh kumpul ratus-ratus juta.

“Kemudian guna isu (memberi) tekanan, jawablah bahawa betul tidak ada RM300 juta dalam akaun, jika betul ada, dari mana? mengapa boleh kumpul begitu banyak wang untuk parti dalam keadaan orang tiada kerja dan susah, bantuan terbatas dan projek-projek dibatalkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya