Penipuan e-baucar, polis buka lima kertas siasatan  - Utusan Malaysia

Penipuan e-baucar, polis buka lima kertas siasatan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

Menurut beliau, pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian.

“Mangsa berkenaan turut dijanjikan menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai.

“Pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi tersebut lancar namun masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noorsiah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada Oktober tahun lalu telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu.

“Siasatan mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 manakala polis menyiasat  mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Jumaat lalu, media melaporkan kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran.

Penipuan berkenaan turut menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya