Penduduk kesal bina landasan ECRL tanpa libat urus - Utusan Malaysia

Penduduk kesal bina landasan ECRL tanpa libat urus

Bantah ECRL
HALIMAH Ali menerima memorandum bantahan daripada Shapawi Hashim yang menghadiri perhimpunan aman dekat Taman Sungai Sireh, di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN /  MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira 100 penduduk Taman Sungai Sireh, melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan membenarkan pembinaan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tanpa mengadakan sesi libat urus komuniti perumahan itu.

Justeru, mereka mengadakan perhimpunan aman disana untuk menyerahkan memorandum bagi membantahnya berikutan wujud kebimbangan sekiranya penduduk diarahkan berpindah disebabkan projek tersebut sudah pun bermula.

Pengerusi jawatankuasa bertindaknya, Shapawi Hashim berkata, lebih mengecewakan apabila penduduk di sana mengetahui pelaksanaan projek tersebut melalui laporan berita dan maklumat daripada laman Kementerian Pengangkutan.

“Tidak ada seorang pun wakil sama ada Kerajaan Persekutuan atau negeri berjumpa dengan mereka bagi memaklumkan perkara berkenaan. 

Malah, dilihat pekerja kontraktor yang dilantik ECRL sudah pun membuat kerja penandaan serta ukur tanah yang dibuat sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika dalam perhimpunan aman bagi membantah projek tersebut, hari ini.

Memorandum tersebut kemudian diserahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali yang hadir.

Beliau menambah, jawatankuasanya akan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri termasuk mengadakan perhimpunan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sekiranya tidak mendapat maklum balas.

“Kita akan menghantar surat bantahan kepada kerajaan Selangor serta Kementerian Pengangkutan berhubung perkara ini. Sekiranya tidak ada maklum balas, kita akan buat perhimpunan aman di Bangunan SUK Selangor supaya kerajaan negeri boleh masuk campur dalam hal ini,” tegasnya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, P. Satheya, 60, berkata, beliau tidak akan berpindah sekiranya diminta berbuat demikian kerana pendapatan untuk menyara keluarganya haya bergantung kepada wang pencen sebagai anggota polis.

“Kalau kerajaan Pusat atau kerajaan negeri nak bagi rumah baru sekalipun, saya tidak mahu pindah kerana rumah yang saya tinggal ketika ini mempunyai banyak kenangan.

“Kalau boleh, saya minta Perdana Menteri untuk masuk campur bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya yang tinggal lebih 20 tahun di kawasan perumahan itu.

Dalam pada itu, Dr. Halimah Ali berkata, beliau akan menyuarakan isu ini pada sidang Parlimen akan datang apabila landasan tersebut sepatutnya dibina jauh dari kawasan perumahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya