Penamatan tugas Ibrahim Shah selaras arahan Kabinet – Khaled

Penamatan tugas Ibrahim Shah selaras arahan Kabinet – Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penamatan tugas Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (LPU UiTM) adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan mana-mana pengerusi dan ahli lembaga pengarah atas lantikan politik perlu ditamatkan segera.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan yang dibuat pada 14 Disember tahun lalu itu melibatkan badan berkanun Persekutuan, Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

SEGERA

“Jemaah Menteri pada 14 Disember lalu memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah (lantikan politik) bagi badan berkanun Persekutuan, Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan), GLC serta GLIC ditamatkan dengan segera,” katanya ringkas di sini semalam.

Semalam, akhbar ini mela­porkan Lembaga Pengarah UiTM digantung daripada bersidang selepas Pengerusinya, Ibrahim Shah menerima surat tamat tempoh perkhidmatan berkuat kuasa 11 Februari ini.

IBRAHIM SHAH ABU SHAH

Bekas Naib Canselor UiTM yang kedua itu sepatutnya memegang jawatan tersebut selama tiga tahun sehingga Januari tahun depan, namun lebih awal menerima surat penamatan pada 10 Januari lalu dan diberi tempoh 30 hari untuk mengosongkan pejabat.

Sumber pejabat Pengerusi LPU UiTM ketika dihubungi mengesahkan Ibrahim Shah ditamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi pada 10 Februari ini atas alasan penamatan lantikan politik, walaupun tempoh­nya berbaki setahun lagi.

Selain beliau, dua lagi anggota lembaga yang ditamatkan perkhidmatan adalah Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkuat kuasa pada 1 Februari, selepas memegang jawatan itu sejak Julai 2020 dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu, Datin Norashekin Yusof.

Sebelum ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama ditukar pengurusan tertingginya apabila Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah dipendekkan tempoh perkhidmatan dan tamat pada 18 Januari lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, tarikh lantikan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM yang baharu belum diputuskan.

Pada masa sama, jurucakap UiTM turut memaklumkan pelantikan pengerusi dan anggota baharu dibuat perlu menepati kriteria menerusi semakan butiran kurikulum dan pengalaman, dan cadangan calon dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN