Pelawaan sertai Bersatu: Hormati apa juga keputusan Khairy - Utusan Malaysia

Pelawaan sertai Bersatu: Hormati apa juga keputusan Khairy

AHMAD Faizal Azumu (baris belakang, tengah) bersama ahli Briged Paroi Bersatu ketika menghadiri Program Semarak Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk menerima penyertaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ke dalam parti itu termasuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Walaupun melihat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) merupakan wadah politik terbaik untuk disertai oleh Khairy, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan, apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh Khairy, ia haruslah dihormati.

“Khairy merupakan pemimpin yang baik, diterima sebahagian besar rakyat, beliau telah tunjukkan prestasi yang cukup baik sebagai Menteri Kesihatan. Saya juga lihat beliau didambakan oleh pelbagai parti politik namun beliau hari ini masih dikhabarkan belum membuat apa-apa keputusan.

“Kami alu-alukan untuk terus bekerjasama kerana kami yakin hasrat beliau untuk memperbaiki sistem penyampaian di dalam kerajaan negeri dan Persekutuan adalah selari dan sama dengan apa yang diperjuangkan dalam PN.

“Kami yakin ini adalah wadah yang paling sesuai buat beliau, namun apa juga keputusan beliau saya menghormati sebagai seorang sahabat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata demikian kepada pemberita pada Program Semarak Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan di Senawang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal, berkata, PN dan Bersatu dijangka menguasai Selangor dan Negeri Sembilan jika Khairy bertanding menggunakan tiket parti itu dalam PRN akan datang.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kehadiran Khairy mampu mewujudkan satu gelombang baharu kepada anak muda khususnya pengundi atas pagar bagi memberikan undi kepada PN dan berupaya memberi kemenangan sekali gus merampas kedua-dua negeri itu daripada PH.

Tambahnya, Bersatu juga bersedia memberikan laluan kepada Khairy membabitkan mana-mana satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor atau Negeri Sembilan jika Khairy berminat menyertai Bersatu dalam masa terdekat.

AHMAD Faizal Azumu menerima borang permohonan keahlian baharu Bersatu ketika menghadiri Program Semarak Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau ada berhubung dengan Khairy mengenai perkara itu, Ahmad Faizal memaklumkan beliau ada berbual dengan Khairy namun hanya mengenai keluarga serta perkembangan masing-masing selepas pilihan raya umum yang lalu.

“Biarkan beliau buat keputusan tetapi pada masa yang sama, kami sentiasa bertukar fikiran untuk cari jalan bagaimana mencari pemimpin yang lebih baik, memenangi hati rakyat untuk tubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil di Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan, PN kini dalam proses untuk memperkukuhkan jenteranya di semua peringkat bagi menghadapi PRN.

“Pada masa yang sama di peringkat Pusat sedang memperhalusi pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dalam PN, insya-Allah ia tidak begitu sukar dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Faizal, beliau juga telah mendapat mandat dari pucuk pimpinan PN untuk lebih kerap ‘turun padang’ ke Negeri Sembilan menjelang PRN kelak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya