PAC kena teruskan prosiding projek kontroversi - Utusan Malaysia

PAC kena teruskan prosiding projek kontroversi

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Banyak prosi­ding dan laporan penting Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melibatkan projek-projek kerajaan yang menelan belanja besar masih tertangguh dan tidak selesai.

Antaranya pembangunan dan perolehan projek aplikasi MySejahtera yang memerlukan prosiding susulan yang didakwa dijual kepada syarikat swasta sehingga mencetus kebimba­ngan kepada risiko pencabulan maklumat peribadi pengguna.

Projek perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia tetapi tiada yang siap walaupun Kementerian Pertahanan sudah membayar RM6.083 bilion, projek uCustoms bernilai RM397.43 juta membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Bestari.net pada 2010 oleh Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, menjelang pembukaan Parlimen penggal ke-15 pada 13 Februari ini PAC akan melantik ahli jawatankuasa baharu sedangkan prosiding-prosiding yang tertangguh belum mempunyai jawapan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, walaupun ahli jawatankuasa dan pengerusi PAC bertukar namun kesemua prosiding bagi projek-projek tertangguh yang membabitkan kewangan negara patut diteruskan.

Menurut beliau, ini kerana prosiding-prosiding ke atas projek-projek besar tetapi ‘mencurigakan’ sebelum ini adalah untuk mengaudit perbelanjaan kerajaan Persekutuan kerana semuanya bersifat kepentingan awam.

PROSIDING

Kata beliau, status prosiding dan beberapa laporan yang dikeluarkan hanya setakat Oktober 2022 sebelum Parlimen penggal ke-14 dibubarkan bulan sama.

“Dalam isu LCS, setelah prosiding verifikasi yang saya bentang laporan penuh pada sidang media tahun lalu, ia memerlukan laporan tindakan susulan yang setakat ini belum dibentang.

“Laporan ini merangkumi status terkini projek LCS dan tindakan susulan diambil oleh kementerian setelah laporan PAC dibentang dengan syor yang dikemukakan,” kata beliau.

Bagi isu MySejahtera, Kah Woh berkata, statusnya juga masih dalam prosiding dan tindakan susulan iaitu mendengar maklum balas Ketua Setiausaha selaku bagi tindakan susulan kementerian terhadap syor PAC belum berlangsung.

“Saya risau, apakah pengerusi PAC baharu mahu meneruskan prosiding-prosiding yang belum selesai,” katanya.

Ahli Parlimen Taiping daripada DAP itu berkata, salah satu projek tertangguh dan berstatus dalam persediaan laporan turut melibatkan pembangunan sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang gagal disiapkan meskipun pembayaran telah dibuat.

PROJEK

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 mendedahkan, projek uCustoms yang dimulakan 25 Oktober 2013 dan dijangka siap pada 24 Oktober 2015 dikenal pasti sebagai kes ketirisan dan pembaziran terbesar dana kerajaan, namun gagal siap selepas tujuh tahun dua bulan dan lima kali lanjutan masa diberikan.

Kata Kah Woh, draf laporan berkenaan sudah siap sepenuhnya namun tidak boleh dikongsi sebelum dibentang di Parlimen terlebih dahulu.

“Objektif pembangunan sistem ini untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan perkastaman dan institusi perdagangan berdaya saing, mematuhi pia­waian antarabangsa melalui gerbang tunggal sistem elektronik yang cepat, selamat, berintegriti dan mesra pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, laporan tertangguh lain termasuk perkhid­matan 1Bestari.net pada 2010 oleh Kementerian Pendidikan yang menyediakan perkhidmatan internet kepada 10,000 sekolah selain mewujudkan persekitaran pembelajaran maya.

“Ada juga persediaan laporan melibatkan projek tukaran tanah Kementerian Pertahanan, projek penyelenggaraan sistem telaga tiub di sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak dan projek menaik taraf perkhidmatan KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad),” katanya.

Kata Kah Woh lagi, tiga prosi­ding yang sepatutnya berlangsung iaitu pengurusan pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan dan loji insinerator yang mana PAC ketika itu menunggu maklum balas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih tertangguh.

“Dua lagi prosiding yang masih berjalan ialah aktiviti kawalan terhadap penggajian ekspatriat (panggil Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan isu pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN