Muhyiddin sudah dipanggil SPRM - Utusan Malaysia

Muhyiddin sudah dipanggil SPRM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Covid-19 dipercayai di fasa terakhir untuk dilengkapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dihantar ke Pejabat Peguan Negara.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, keterangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diambil SPRM semalam manakala keterangan beberapa pemimpin tertinggi parti berkenaan juga telah diambil sebelum ini.

“Kertas siasatan berkenaan telah dilengkapkan dan keputusan akan dimuktamatkan dalam masa terdekat sama ada saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan atau tidak terhadap beberapa individu,” kata sumber itu secara ringkas.

Kata sumber, Muhyiddin hadir memberi keterangan dari sebelah pagi sebelum selesai tengah hari di Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Setakat ini, kedua-dua akaun membabitkan parti ini masih dibekukan,” jelasnya.
Laporan Utusan Malaysia pada Isnin lalu, mendedahkan kertas siasatan yang dibuka SPRM berhubung dana akaun Bersatu akan selesai dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.

Beberapa kertas siasatan telah dibuka, ada yang sudah lengkap dan dalam perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya.

Laporan akhbar ini turut mendedahkan, hasil siasatan SPRM mendapati terdapat pihak kontraktor yang membayar suapan kepada pihak tertentu dalam Bersatu bagi tujuan mendapatkan projek.

Daripada dana yang diperoleh parti itu, ada sebahagiannya disyaki tidak digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu sebelum ini untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Utusan Malaysia pada 3 Februari lalu melaporkan, baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta iaitu dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu telah dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU15 sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×