Menu Rahmah dorong peniaga turunkan harga

Menu Rahmah dorong peniaga turunkan harga

RESTORAN antara penyumbang kepada kenaikan kadar inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengenalan menu Rahmah yang mendapat sambutan daripada orang ramai mendorong lebih ramai peniaga di seluruh negara mengambil langkah sama menawarkan menu yang berharga bawah RM5 itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peniaga berkata, selepas sering ditanya oleh pelanggan mengenai menu itu, mereka mula memperkenalkan menu itu untuk bersama-sama membantu orang ramai berjimat.

Pemilik Dapur Nikloh, Nik Haznita Yusuf, 41, di Alor Gajah, dia terpanggil untuk menyertai inisiatif berkenaan kerana mahu membantu masyarakat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

UNIK

“Konsep ini menarik untuk diketengahkan dan nama Menu Rahmah itu sendiri sangat unik. Sejak saya membuat hebahan di media sosial, ramai yang bertanya untuk mengetahui lebih lanjut tentang menu ini.

“Niat saya memperkenal Menu Rahmah ini untuk membantu dan bersedekah kepada masyarakat. Walaupun margin untung sangat kecil, saya tetap berasa puas dapat berbuat ihsan kepada pelanggan,’’ kata.anak jati Kota Bharu, Kelantan itu.

Dapur Nikloh menawarkan hidangan nasi putih bersama sayur dan ayam goreng serta sambal belacan yang berharga RM5 sepinggan.

Nur Nadiah Che Amran, 35, pula menyediakan lebih 15 jenis lauk kedainya di Kampung Losong Haji Shafie, Kuala Terengganu dengan harga RM4 setiap satu.

“Tidak semua mampu membeli makanan dengan kos sara hidup yang meningkat hari ini. Jadi selain dapat meringankan beban orang ramai, saya juga boleh bersedekah.

“Sebenarnya inisiatif ini telah dibuat tahun lalu namun sejak Menu Rahmah diperkenal, sambutan di kedai saya semakin menggalakkan,” katanya.

BERBEZA

Peniaga Nasi Ayam Budak Gemok, Amilia Ismail, 39, di Bukit Mertajam berkata, enam menu berbeza pada harga di bawah RM5 mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama dalam kalangan penghantar p-hailing.

Dia mengakui keuntungan yang diperoleh hasil Menu Rahmah sedikit namun dianggap sebagai satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Untung memang nipis tetapi demi menyahut saranan kerajaan, kita akan terus sediakan menu ini. Diharapkan rezeki kita akan lebih bertambah sekali gus membantu orang ramai berjimat,” katanya.

Di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah, peniaga, Nurliyana Izzati Ramli, 29, berkata, dia sudah memperkenalkan set makan tengah hari ala Menu Rahmah berharga RM5 sejak sebulan lalu.

“Setiap menu termasuk nasi, sayur, ulam, kuah kari ayam dan sambal belacan. Mereka boleh memilih lauk ayam atau ikan. Selain itu menu RM5 ini juga termasuk minuman iaitu sirap ais atau teh O ais.

“Banyak pelanggan terdiri mereka yang mengusahakan bendang dan staf pejabat berdekatan,’’ katanya.

UDANG

Seorang lagi peniaga, Norazilawati Mohamad, 36, dari Kampung Kajang Sebidang, Tumpat berkata, dia masih bertahan menjual semangkuk mi udang galah sejak setahun lalu pada harga RM5.

Pemilik gerai Moksu Na mi udang galah mengakui harga bahan mentah mengalami kenaikan mendadak terutamanya udang galah tetapi setakat ini, dia masih mahu bertahan.

Peniaga nasi berlauk, Rohani Zakaria, 53, berkata, dia kekal menjual nasi berlauk RM3 sebungkus walaupun bahan mentah mengalami kenaikan harga.

Katanya, sebelum ini nasi berlauk berharga RM2 sebungkus dijual selama 16 tahun tetapi terpaksa akur menaikkan harga kepada RM3 tahun lepas apabila ayam naik harga kepada RM9 hingga RM10 sekilogram.

Bagaimanapun, pengusaha makanan di Teluk Intan belum bersedia untuk menawarkan hidangan lengkap serendah RM5 disebabkan kenaikan harga bahan mentah.

Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, agak sukar untuk dia menjual makanan pada harga seperti Menu Rahmah jika harga barang mentah masih tinggi.

“Kos bahan mentah adalah satu daripada kos selain kos-kos lain seperti gaji pekerja, kos utiliti dan lain-lain.

“Ini menyebabkan kami tidak dapat melaksanakan program yang disarankan oleh kerajaan buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN