Maritim Johor patah cubaan seludup minyak diesel RM3.62 juta - Utusan Malaysia

Maritim Johor patah cubaan seludup minyak diesel RM3.62 juta

1. NURUL HIZAM ZAKARIA (kiri) menunjukkan tangki kapal yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup minyak diesel di Sungai Lebam, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel oleh satu sindiket dalam serbuan di ladang kelapa sawit di Sungai Lebam, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, Maritim Malaysia berjaya merampas 80,000 liter minyak diesel bernilai RM3.62 juta.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah kapal tangki yang mencurigakan bergerak keluar dari sungai berkenaan.

Katanya, seramai 10 lelaki terdiri daripada lapan warga Indonesia yang merupakan kru kapal serta dua warga tempatan merupakan pemandu lori berusia 19 hingga 60 tahun berjaya diberkas.

“Turut dirampas sebuah kapal tangki, dua lori tangki minyak, sebuah kereta Perodua Bezza dan pam minyak serta 80,000 liter minyak disyaki minyak bersubsidi.

“Ketika penahanan dibuat, kapal yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania itu, dipercayai sedang memindahkan minyak. Walau bagaimanapun, bila menyedari kehadiran pihak maritim, kapal berkenaan cuba lari.

“Kita percaya sindiket ini menggunakan pam dan hos minyak sepanjang 600 meter untuk memindahkan minyak diesel dari lori tangki ke kapal. Kapal ini juga pernah ditahan Maritim Malaysia sebelum ini atas kesalahan berlabuh secara haram,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Maritim Malaysia Pengerang, Tanjung Pengelih, dekat sini hari ini.

Pihaknya masih melakukan siasatan lanjut bagaimana dan sejak bila sindiket itu mula beroperasi.

“Ini merupakan tangkapan pertama Maritim Malaysia Johor tahun ini yang melibatkan sindiket penyeludupan minyak diesel. Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.