Lagi individu profil tinggi akan didakwa

Lagi individu profil tinggi akan didakwa

WAN Saiful Wan Jan (kiri) dan Adam Radlan Adam Muhammad yang berdepan dakwaan meminta dan menerima suapan wang melibatkan projek Jana Wibawa tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa lagi individu berprofil tinggi akan di­dakwa di mahkamah dalam masa terdekat berhubung pe­nye­­lewengan projek Jana Wiba­wa.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, pertuduhan rasuah membabitkan dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam merupakan sebahagian daripada siasatan terhadap pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 melibatkan dana RM92.5 billion.

Katanya, Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melakukan si­ri siasatan lain berhubung dak­waan ketiri­san sepanjang pe­me­rintahan ke­rajaan Perikatan Na­sional (PN).

“Ada lagi kertas siasatan lain yang dilengkapkan sebelum di­bentangkan kepada Timbalan Pen­dakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Tunggu,” katanya di sini, semalam.

Kata sumber itu, pertuduhan membabitkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dibuat selepas mendapati terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“Tidak tolak kemungkinan ada pertuduhan lain mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

“SPRM juga akan melihat sekiranya ada keperluan cada­ngan pertuduhan mengikut Akta Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Semalam, Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Adam Radlan, 42, ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat, masing-masing me­ngaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat ber­asingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang keseluruhannya bernilai RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya, wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd., daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek sama.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terbabit didakwa melakukan dua kesalahan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, antara April 2022 dan CIMB Bank Berhad Cawa­ngan Bukit Tunku, Taman Tunkudi sini antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Adam Radlan pula didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah antara 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. menerusi pengarah urusannya, Mat Jusoh Mamat.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh membantu syarikat MIE Infrastructure mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek Program Jana Wibawa yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan berjumlah RM500,000 ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada Mat Jusoh sebagai upah untuk dirinya kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat berkenaan bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis secara rundingan terus keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah restoran dekat Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku pada Mac 2021 dan 26 November 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Pada 9 Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, fokus siasatan terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, siasatan SPRM mendapati terdapat ‘arahan’ Projek Jana Wibawa diberikan secara tender runding terus kepada kontraktor dan syarikat yang dikenal pasti membabitkan nilai projek puluhan sehingga ratusan juta ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×