Kurang pekerja faktor kurang bekalan telur - Utusan Malaysia

Kurang pekerja faktor kurang bekalan telur

MOHAMAD Sabu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di Seremban hari ini.- UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang dihadapi penternak yang dilihat antara faktor berlakunya kekurangan bekalan telur ayam ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu, pihaknya turut akan menjalankan kerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

“Pengusaha akan diminta melipat gandakan pengeluaran kalau (mereka) tidak cukup pekerja, kami cuba memberi laluan mudah cara untuk mereka menambahkan pekerja. 

“Sebab masalah utama mereka selain masalah harga makanan ialah masalah kekurangan pekerja. 

“Sekarang kami cuba atasi melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menambah pekerja di sektor pertanian dan termasuklah sektor yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di Seremban hari ini. 

Hari ini media melaporkan mengenai keluhan pengusaha kuih raya berhubung kekurangan bekalan telur ayam di pasaran menjelang Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

Mohamad menjelaskan, beliau tidak menolak berlakunya isu kekurangan bekalan telur menjelang musim perayaan dan perkara itu menurutnya akan diatasi.

“Isu telur ayam ini bermasalah kepada banyak negara di dunia dan termasuk negara kita. 

“Kebimbangan itu tetap ada masuk sahaja pada bulan Ramadan kerana penggunaan telur ayam dan bahan-bahan yang lain akan meningkat. 

“Disebabkan itu, kena bincang bersama pihak pengusaha supaya melipatkan gandakan pengeluaran daripada sekarang. Itu yang kita harapkan,” katanya. 

Sementara itu, Penasihat ICPKL 2023, Dr. Fauziah Mohd Hasan berkata seramai 500 delegasi dari 20 buah negara menyertai persidangan berkenaan.

“Program hari ini bertemakan The Caged Eye, iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin yang dikurung dalam penjara rejim Zionis,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya