Kegiatan gangster di Johor terkawal - Utusan Malaysia

Kegiatan gangster di Johor terkawal

ABD. JALIL HASSAN menandatangani plak sambil diperhatikan oleh Kamarul Zaman (kanan) pada Majlis Perasmian Balai Polis Kelapa Sawit, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Polis negeri ini akan terus memantau pergerakan kongsi gelap serta sebarang anasir gangsterisme termasuk yang cuba berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara inisiatif dilakukan pihaknya dengan menjalin kerjasama dengan NGO melibatkan pelbagai sektor.

Menurutnya, kerjasama seumpana itu telah terbukti berkesan mengawal keamanan dan kesejahteraan umum termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Memang kita ada senarai kongsi-kongsi gelap aktif di negeri ini, namun setakat ini kita masih dapat kawal dengan memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang insiden jenayah yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Berhubung gangsterisme yang bertopengkan NGO pula, buat masa ini kita tidak mengesan sebarang unsur sedemikian. Ini kerana polis Johor banyak menjalankan kerjasama dengan pelbagai NGO untuk menjaga keamanan.

“Antara NGO itu termasuk NGO kebajikan, pendidikan, kanak-kanak serta komuniti setempat,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Balai Polis Kelapa Sawit, di Kulai, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya kini sedang giat menyantuni murid dan pelajar sekolah menerusi lantikan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melibatkan sekolah-sekolah di negeri ini.

“Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan aspek keselamatan di sekolah serta memantau sekiranya wujud cubaan merekrut pelajar untuk menyertai kumpulan kongsi gelap atau sekiranya terdapat cubaan menyeludup dadah.

Minggu lalu Abd. Jalil memberitahu, polis telah membongkarkan modus operandi sindiket kongsi gelap yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah menerusi NGO berdaftar termasuk menjalankan perniagaan seperti perjudian, dadah dan pusat hiburan.

Sementara itu, Balai Polis Kelapa Sawit yang baharu menempat seramai 26 pegawai dan anggota dengan dilengkapi kemudahan bangunan balai dua tingkat, dua bilik kurungan, pondok pengawal, stor barang kes serta 13 unit kediaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya