Kartel lobi harga ayam minimum RM12 sekilogram

Kartel lobi harga ayam minimum RM12 sekilogram

TERDAPAT usaha kartel melobi harga ayam untuk dinaikkan serendah RM12 sekilogram. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ayam dan telur jika diapungkan tanpa dipantau dengan cermat dan teliti dikhuatiri akan naik terlalu tinggi sehingga bahan protein itu hanya mampu dinikmati golongan berkemampuan sahaja.

Utusan Malaysia difahamkan, segelintir kartel ayam sudah mula melobi agar harga ayam sebaik diapungkan haruslah bermula pada kadar RM12 sekilogram, manakala harga telur pula bermula serendah 55 sen sebiji setelah diapungkan.

Satu sumber penternak kontrak wilayah tengah yang dihubungi semalam mendedahkan, isu desakan kartel yang menetapkan harga ayam dan telur sedemikian mengundang kemarahan penternak kontrak yang khuatir kehidupan rakyat akan terjejas akibat berdepan harga ayam dan telur yang terlalu tinggi di pasaran.

“Dalam kumpulan WhatsApp serta perbincangan dengan pemain-pemain gergasi serta kumpulan penternak kontrak, kita lihat pemain besar ini minta harga ayam diapungkan kepada RM12 sekilogram. Telur pula 55 sen mereka minta. Tapi tak tahulah sama ada kerajaan akan ikut atau tidak.

“Tapi jika buat begini, sebab itu saya beritahu kawan-kawan lain, harga macam ini akan membuatkan ayam ini cuma mampu dimakan golongan T20 dan kayangan saja. Daripada bermula serendah RM12 sekilogram, nanti mereka sesuka hati naikkan jadi RM15 pula. Kesudahannya, seekor ayam akan jatuh pada kadar RM25 sehingga RM30,” katanya di sini, semalam.

Katanya, langkah mengapungkan harga ayam dan telur, jika tidak disusuli dengan usaha menasionalisasikan sektor pengeluaran anak ayam serta dedak, hanya akan menambah masalah dalam ekosistem ternakan malah berpotensi membunuh kumpulan penternak kontrak yang rata-rata dipelopori golongan bumiputera.

“Lagi satu, jika kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur sekali pun, penternak kontrak masih ditindas oleh kartel dan integrator. Sebab cuma ada lima syarikat yang terlibat mengimport stok tuai induk atau grand parent stock (GPS). Yang kawal anak ayam DOC pun cuma 30 syarikat pengeluarnya.

“Apa pun yang kerajaan buat, ekosistem ayam ini tetap dikawal oleh mereka. Misalnya kerajaan umumkan tarik semula subsidi, itu bagus sebab jika diberikan subsidi pun, yang dapat adalah lima kartel serta 30 integrator yang bekalkan anak ayam sehari (DOC).

“Tapi, apabila kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur sekali pun, kerajaan tidak membantu menyelesaikan isu pokok iaitu bekalan anak ayam serta harga dedak ayam. Sebabnya, jika harga ayam diapungkan dan mencecah RM12 sekilogram seperti yang diminta kartel, apakah jaminan bahawa harga DOC dan dedak akan turun dan membantu menyelamatkan penternak kontrak yang selama ini ditindas dari dua sudut ini,” soal sumber yang turut menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan lembaga unggas negara.

Dalam pada itu, satu sumber penternak di selatan tanah air pula mendedahkan, bukti bahawa langsung tiada kawalan ke atas bekalan anak ayam dapat dilihat melalui harga terkini anak ayam sehari (DOC) yang menurutnya mencecah RM3.80 seekor, sementara harga dedak jenis starter mencecah RM136 per beg 50 kg sementara dedak grower RM138 per beg 50 kg.

Pada 21 Februari, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam wawancara bersama media berkata, harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi.

Beliau berkata, harga ayam dan telur diapungkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat menilai serta mengawal harga barangan itu sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit semasa.

“Kita yakin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mencukupkan permintaan ayam dan telur (melalui pengapungan harga) dan sekarang pun sudah mencukupi cuma lima atau enam bulan lagi ia akan lebih cukup jika tidak berlaku perkara baharu yang tidak diingini (seperti bencana),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus yang dihubungi berkata, langkah mengapungkan harga ayam dan telur satu polisi yang bagus, namun pemantauan harga secara berkala harus dilaksanakan menggunakan model kawalan harga petroleum.

Beliau mencadangkan supaya setelah harga ayam dan telur diapungkan, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme memantau harganya sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

“Harga siling pun tak boleh misalnya enam bulan masih tetap sama dan tidak berubah. Sebaliknya ia perlu menggunakan model semakan harga minyak, misalnya setiap seminggu atau dua minggu sekali, harga ayam perlu disemak sekali pun ia sudah diapungkan.

“Jadi, boleh diapungkan harga ayam tapi ia perlu disemak setiap minggu. Sebab jika tidak, kita kasihan kepada rakyat. Kita tidak mahu rakyat terpaksa berdepan dengan harga ayam dan telur yang tinggi akibat langkah mengapungkan harganya,” katanya.

Zulkifli juga berkata, kerajaan harus peka dengan perkembangan industri ayam serantau supaya mendapat maklumat tepat tentang penggunaan ayam perkapita bagi setiap penduduk.

Ini supaya kerajaan dapat menggunakan model kawalan yang tepat dan berkesan ke atas ekosistem pengeluaran ayam negara.

“Di Indonesia misalnya, penggunaan ayam per kapita mereka sangat rendah dan jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Oleh itu, jika harga ayam tinggi pun di negara itu, rakyat mereka tak kecoh.

“Sama juga dengan Thailand, walaupun mereka ini pengeksport ayam yang besar, tapi penggunaan tempatan mereka sangat rendah.

“Tapi di Malaysia pula, kita banyak makan ayam, 50.9 kilogram per kapita setiap tahun pada 2019. Sebab itu apabila harganya naik, itu jadi isu negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×