Karnival Kerjaya MyFutureJobs tawar 10,000 peluang pekerjaan

Karnival Kerjaya MyFutureJobs tawar 10,000 peluang pekerjaan

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pe­ngangguran Malaysia menurun 3.6 peratus dengan 600,900 penganggur direkodkan setakat November tahun lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, penurunan itu adalah hasil pelbagai langkah proaktif diambil oleh kerajaan termasuk pelaksanaan secara berterusan pelbagai program pasaran buruh aktif.

Kata beliau, Kementerian sumber Manusia (KSM) melalui agensinya, Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan pelbagai program yang mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa, terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur, pasca pandemik Covid-19.

SKALA BESAR

Jelas beliau, ia termasuk pe­nganjuran Karnival Kerjaya MyFutureJobs berskala besar yang pertama bagi tahun ini yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Menerusi penganjuran karnival kerjaya ini, pencari kerja bukan sahaja dapat bertemu dengan majikan untuk sesi temu duga secara bersemuka dan tanpa temu janji, malah banyak aktiviti serta program berkaitan perkhidmatan pekerjaan dianjurkan di Karnival ini,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Sivakumar, karnival itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan melibatkan lebih 140 majikan di bawah satu bumbung.

“Majikan adalah dari pelbagai industri meliputi sektor kerajaan dan swasta termasuk syarikat keusahawanan, syarikat pemula, perusahaan sosial dan penyedia perkhidmatan gig.

“Jadi, saya menyeru semua pencari kerja di luar sana, bukan sahaja di Lembah Klang malah di seluruh negara untuk hadir ke karnival kerjaya ini untuk memperoleh peluang pekerjaan atau peningkatan kerjaya,” jelasnya.

Kata Sivakumar, jenis kekosongan jawatan yang ditawarkan pula merentas pangkat dan sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat seperti lepasan sekolah, para graduan, golongan professional dan juga mereka yang dalam sektor ekonomi gig.

Bukan itu sahaja, kata beliau, sempean karnival kerjaya itu, turut dilancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri.

“SKSSR ini sendiri adalah unik kerana Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara dan antara empat negara di dunia yang menawarkan skim perlindungan sosial kepada golongan suri rumah,” katanya.

Untuk rekod, seramai 320,864 daripada 879,601 pencari pekerja yang mendaftar melalui MyFutureJobs berjaya mendapatkan pekerjaan setakat 31 Disember tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya