Kanak-kanak diusung dengan tandu sebelum berkhatan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak diusung dengan tandu sebelum berkhatan

SEORANG kanak-kanak diusung dengan tandu oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang sempena program berkhatan beramai-ramai anjuran Klinik Kesihatan Senawang dan Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, di Seremban pagi tadi.

SEREMBAN: Seramai 54 orang kanak-kanak diarak menggunakan tandu sempena program berkhatan beramai-ramai anjuran Klinik Kesihatan Senawang dan Balai Bomba dan Penyelamat Senawang di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Saiful Nazri Mohd. Nor berkata, kanak-kanak tersebut yang ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing diarak dari hadapan lobi utama ke unit kecemasan Klinik Kesihatan Senawang. 

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan program berkhatan beramai-ramai seperti ini. Kami menampilkan kelainan apabila semua kanak-kanak ini dibawa menggunakan tandy oleh anggota bomba.

“Ia dilihat dapat mengurangkan rasa gemuruh kanak-kanak sebelum berkhatan, insya-Allah kami akan mengadakan acara seperti ini setiap tahun yang dilihat dapat memperkukuhkan hubungan di antara Klinik Kesihatan Senawang dan Balai Bomba Senawang,” katanya hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Hamdan Ali. 

Menurut Saiful Nazri, seramai 11 orang anak anggota bomba turut menyertai program berkenaan malah Persatuan Suri Dan Anggota Bomba Malaysia (Prisma) turut meraikan kanak-kanak tersebut dengan memotong pulut kuning.

“Bayaran RM50 dikenakan kepada setiap seorang kanak-kanak yang menyertai dan Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.-DONE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN