KUALA LUMPUR: Kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama sekiranya masih tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang membelenggu kehidupan rakyat hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, sehingga hari ini, tidak ada sebarang formula atau langkah berkesan yang diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit khususnya isu telur ayam.
“Patutnya kerajaan perlu ubah minda mereka untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, bukan terus membalas dendam mencari salah orang lain. Isu telur, harga sayur, kos sara hidup, apa formulanya untuk selesaikan isu-isu ini?
“Pendekatan yang kerajaan lakukan tidak mewakili rakyat, kerajaan tiada fokus pada perkara yang perlu diutamakan, barangkali kerajaan kali ini tidak mampu bertahan lama,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Minggu lalu, isu-isu berkaitan rakyat khususnya isu telur ayam menjadi topik hangat yang dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ia termasuklah Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (MCA-Ayer Hitam) yang mempertikai tindakan kerajaan mengimport telur ayam dari India bagi mengatasi isu kekurangan bahan itu dalam negara.
Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang percaya ada langkah lain yang lebih tepat berbanding mengimport telur ayam dari India.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam turut berkata, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya duduk semeja dengan pembangkang untuk mencari solusi terbaik kerana isu-isu yang berbangkit itu memberi kesan kepada rakyat seluruhnya. – UTUSAN










