ALOR SETAR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi isu keselamatan pelajar di sekolah termasuk melibatkan kemalangan jalan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihaknya tidak menafikan isu trafik dan kemalangan menjadi masalah utama yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG dalam kalangan ibu bapa.
“Kita tahu ada isu pengawal keselamatan dikurangkan kerana kurang peruntukan. Jadi ibu bapa dan PIBG perlu duduk semeja atasi masalah keselamatan anak-anak mereka. Jika mampu mereka boleh mengupah anggota Rela untuk mengawal trafik terutama di waktu puncak.
“Jika tidak berkemampuan mungkin boleh cari mana-mana ibu bapa yang bekas anggota tentera, Rela atau polis bantu. Isu seperti ini sudah lama berlaku dan ia juga jadi topik utama kalau mesyuarat PIBG,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, pelajar yang belajarr di sekolah-sekolah yang terletak berhampiran lebuh raya di negeri ini paling berisiko terlibat kemalangan kerana banyak kenderaan.
“Kita kesal dengan sikap sesetengah pemandu termasuk kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab ketika melalui kawasan sekolah walaupun terdapat papan tanda di lokasi sekolah. Memang lebuh raya semua nak laju walaupun di depan itu ada sekolah.
“Contohnya di Kedah ini, ada sekolah yang letaknya betul-betul tepi lebuh raya dan jalan yang sangat sibuk seperti di Changlun dan Jitra,” katanya.
CAP
Sementara itu, di Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan Kementerian Pendidikan mewajibkan setiap sekolah menyediakan sekurang-kurangnya dua pengawal lalu lintas bagi memastikan keselamatan pelajar ketika melintas jalan.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, pada masa ini, kebanyakan sekolah terutama sekolah rendah mempunyai pengawal lalu lintas, namun jumlah pengawal itu tidak mencukupi untuk mengawal ketika semua murid tamat sesi persekolahan.
‘’Seorang pengawal tidak dapat mengawal jumlah pelajar yang ramai ketika mereka mahu pulang dari sekolah. Sekurang-kurangnya dua pengawal diperlukan untuk mengawal keadaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, selain itu, pihak berkuasa juga perlu memperbanyak papan tanda yang mengingatkan pengguna jalan raya supaya mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan sekolah.
‘’Pengguna jalan raya juga perlu diingatkan supaya sentiasa berwaspada semasa berada di kawasan berhampiran sekolah.
‘’Kadangkala kita lihat pengguna jalan raya masih memandu kenderaan dengan laju ketika berada di kawasan sekolah dan situasi ini berbahaya kepada pelajar,’’ katanya.
Dalam pada itu, katanya, peranan ibu bapa dan orang ramai sangat penting dalam memastikan keselamatan pelajar ketika mereka mahu menyeberang jalan.
‘’Ibu bapa perlu memaklumkan kepada anak masing-masing supaya sentiasa menjaga keselamatan ketika mahu menyeberang jalan kerana mereka masih muda dan tidak tahu tentang bahaya di kawasan persekitaran,’’ katanya.- UTUSAN










