KOTA BHARU: Bekas pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Tun M akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat dengan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa bagi membincangkan kerjasama melibatkan penyatuan orang Melayu.
Ahli Dewan Tertinggi MN Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Tun M sebenarnya memberi sokongan penuh kepada usaha Annuar menubuhkan MN dalam usaha menyatupadukan kembali orang Melayu di negara ini.
“Penerimaan Tun M terhadap MN cukup baik dan seperti kata beliau sendiri, sudah sampai masanya orang Melayu kena duduk semeja dan anjur satu penyatuan serta perpaduan secara total di negara kita.
“Atas dasar itu juga saya mewakili GTA untuk duduk bersama dalam MN. Insya Allah saya mahu anjur pertemuan mereka pada minggu depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Wacana MN di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini malam tadi.
Khairuddin memberitahu, Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) juga sanggup mengetepikan perbezaan pendapat dengan beberapa pemimpin termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin demi penyatuan Melayu.
Katanya, lebih penting pada masa kini adalah memastikan matlamat menggabungkan kembali tenaga dan menyatupadukan kembali orang Melayu dapat dicapai untuk menjadi teras yang kuat di negara ini.
“Saya rasa semua pihak setuju ke arah penyatuan Melayu. Kita perlu ketepikan semua perbezaan pendapat dan lupakan kisah-kisah silam. Apa yang penting adalah penyatuan orang-orang Melayu dan MN telah memulakan usaha ke arah itu.
“Antara perkara yang menarik minat Tun M membentuk kerjasama dengan MN adalah wadah perjuangan yang selari dan kerana itu juga bekas Perdana Menteri itu menekankan mereka perlu berjumpa dan duduk semeja. Jika dikaji perlembagaan MN dan sebagainya, ia betul-betul selari dengan wadah perjuangan Tun M yang akhirnya ingin melihat penyatuan orang-orang Melayu.
“Ia mungkin kebetulan. Namun Annuar juga merupakan anak didik kesayangan Tun M. Jadi pola pemikiran mereka mungkin agak sama dan mempunyai formula sama untuk mendepani kemelut Melayu ketika ini,” ujarnya.
Khairuddin berkata, MN adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) namun peranannya dilihat lebih tajam dan efektif berbanding parti politik dalam usaha penyatuan bangsa Melayu.-UTUSAN










