Bekas banduan dicekup ketuai sindiket curi kereta Proton Wira, pecah rumah

Bekas banduan dicekup ketuai sindiket curi kereta Proton Wira, pecah rumah

MUHAMAD Zaki Harun (kanan) memeriksa sebahagian kereta jenis Proton Wira yang dirampas selepas menahan tujuh suspek di Kota Bharu,Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Baru dibebaskan dari penjara enam bulan lalu, seorang bekas banduan bersama enam rakannya dicekup selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kereta jenis Proton Wira dan pecah rumah di dua lokasi berasingan di sini semalam.

Bekas banduan berusia 37 tahun yang memiliki 10 rekod kesalahan lampau berkait kes dadah dan jenayah itu turut mengaku berperanan sebagai ketua kumpulan dalam melakukan kegiatan tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil maklumat awal, polis menjalankan serbuan di rumah bekas banduan itu di Kampung Machang Limbat di sini semalam dan mendapati cap jarinya sama dengan individu yang dikehendaki bagi kes pecah rumah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada suspek, polis kemudiannya menjalankan serbuan di sebuah lagi rumah beberapa kawasan di kampung itu dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam hingga 4 pagi sebelum menahan enam lagi suspek.

“Semasa serbuan dijalankan, seorang anggota polis patah jari kelengkeng tangan kanan selepas bergelut dengan salah seorang suspek. Kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 36 hingga 58 tahun.

“Pemeriksaan di rumah kesemua suspek telah menemui lima buah kereta jenis Proton Wira yang disyaki dicuri, peralatan mencuri kenderaan, alat pecah rumah, telefon bimbit dan sejumlah wang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kesemua kereta yang dicuri itu dijual pada harga antara RM3,000 hingga RM5,000 dan kereta tersebut dipercayai mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan sama ada kumpulan itu menggunakan kereta tersebut untuk kegiatan lain termasuk penyeludupan atau sebaliknya.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 325/353 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.