Kereta ikonik siri TV Knight Rider disaman dipandu laju - Utusan Malaysia

Kereta ikonik siri TV Knight Rider disaman dipandu laju

Gambar fail kereta Knight Rider. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah kereta ikonik daripada siri televisyen popular tahun 1980-an, Knight Rider, menjadi subjek saman trafik baru-baru ini di New York.

Ia menjadi ‘misteri’ kerana kenderaan tersebut sebenarnya tersimpan rapi di sebuah muzium di negeri Illinois sejak bertahun-tahun.

Muzium Volo yang terletak di Volo, menerusi hantaran di laman Facebook pada 7 Mei memaklumkan bahawa mereka menerima surat daripada Jabatan Kewangan Bandar Raya  New York. 

Surat tersebut mendakwa kenderaan KITT dari rancangan tersebut telah dikesan tidak mematuhi had laju di sebuah zon sekolah pada 22 April.

KITT atau singkatan bagi Knight Industries Two Thousand merupakan sebuah kereta Pontiac Firebird Trans Am 1982 berwarna hitam. Ia dilengkapi perisian kecerdasan buatan (AI) pintar untuk membantu Michael Knight, watak lakonan David Hasselhoff membanteras jenayah. 

Siri tersebut ditayangkan selama empat musim bermula dari tahun 1982 sehingga 1986.

Pihak muzium telah diarahkan untuk membayar saman sebanyak AS$50 (RM196.30) bagi kesalahan memandu laju itu. 

Dalam kejadian tersebut, kenderaan yang dikesan itu dilaporkan memandu pada kelajuan 60 kilometer sejam (km/j) di zon sekolah yang mempunyai had laju 40 km/j. 

Pihak muzium turut menegaskan bahawa kereta KITT milik mereka tidak pernah bergerak dari ruang pameran sejak bertahun-tahun lamanya dan menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang sangat luar biasa untuk berlaku. 

Muzium Volo menjelaskan bahawa kejadian aneh itu berlaku selepas kamera trafik bandar raya berkenaan merakam imej sebuah plat lesen serupa dengan nombor pendaftaran yang digunakan dalam rancangan televisyen tersebut.

“Kamera tersebut merakam plat lesen hiasan (bukan plat sebenar, malah ia adalah plat California),” jelas pihak muzium. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN