Ajaran sesat : Pengasas Kumpulan Zikir Asmaul Husna, 17 pengikut ditahan - Utusan Malaysia

Ajaran sesat : Pengasas Kumpulan Zikir Asmaul Husna, 17 pengikut ditahan

AHMAD Zaki Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang dirampas daripada pengasas dan pengikut Kumpulah Zikir Asmaul Husna dalam serbuan di Johol, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dikesan kembali aktif selepas pengasasnya seorang wanita ditahan bersama 17 pengikut di Johol, Kuala Pilah di sini hari ini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi itu, pengasas ajaran tersebut seorang wanita berusia 60 tahun sedang menyampaikan kuliah kepada pengikutnya yang kesemua adalah wanita.

“JHEAINS telah melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan berkaitan kesalahan berkaitan ajaran meragukan dan mengajar agama tanpa tauliah oleh kumpulan ini.

“Pengasas ajaran itu yang digelar ‘Ummi’ telah ditahan bersama 17 pengikutnya yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 60-an,” katanya di Pejabat Penguatkuasa JHEAINS di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zaki, ajaran ‘Kumpulan Zikir Asmaul Husna’ itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS).

“Sebelum ini, pengasasnya yang merupakan bekas pensyarah sebuah universiti awam telah dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan membuat perisytiharan taubat (mengaku kesalahan) pada Februari 2021.

“Namun, hasil maklumat dan risikan sejak 2022 mendapati ajaran ini masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasas di Johol, Kuala Pilah selain bergerak dalam kumpulan kecil,” katanya.

Jelas Ahmad Zaki, ajaran itu yang mempunyai ramai pengikut di seluruh negara kini dalam proses mengembangkan ajarannya ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman antara sekolah pondok negara tersebut.

“Pengikut ajaran Asmaul Husna ini kebanyakannya terdiri daripada golongan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan.

“Berdasarkan risikan, pengikut kanan ajaran ini merekrut pengikutnya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dengan cara menjemput golongan wanita menghadiri sesi kuliah yang diadakan,” katanya.

Tambah beliau, JHEAINS telah menahan pengasas dan 17 pengikut ajaran itu untuk siasatan lanjut dan mereka dijangka akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan dan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah esok.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli mengesahkan penahanan kumpulan ajaran tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 dan Seksyen 53 enakmen yang sama.

“Saya berharap semua umat Islam khususnya di Negeri Sembilan berhati-hati untuk mengikuti mana-mana ilmu yang disampaikan oleh guru atau penceramah. Pastikan mereka mempunyai tauliah supaya tidak menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Sebelum ini pada Februari 2021 media melaporkan, pengasas ajaran Asmaul Husna Wan Maseri yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawa sebelum ini.

Pengasasnya, Dr. Wan Maseri Wan Mohd. secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.