Ahmad bertemu PLUS bincang tambah lorong di Johor - Utusan Malaysia

Ahmad bertemu PLUS bincang tambah lorong di Johor

AHMAD MASLAN mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Kewangan akan mengadakan pertemuan dengan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) bagi membincangkan permohonan kerajaan Johor tentang penambahan lorong Lebuhraya Utara-Selatan di negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan maklum balas syarikat pengendali lebuhraya itu tentang perkara kerana penambahan lorong telah diumumkan dalam manifesto pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

“Minggu ini saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak PLUS bagi membincangkan cadangan dibangkitkan kerajaan negeri Johor iaitu untuk menambah lorong antara Yong Peng hingga Johor Bahru.

“Ini juga merupakan permintaan ramai pihak bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang terus berlanjutan sejak sekian lama, khususnya pada waktu cuti atau musim perayaan.

“Laluan di Melaka dan Negeri Sembilan sudah dibesarkan menjadi enam dan lapan lorong, namun apabila tiba di Johor, hanya empat sahaja lorong sedangkan negeri ini memberi sumbangan besar terhadap pendapatan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, penambahan lorong di lebuhraya berkenaan merupakan antara isu utama yang dibangkitkan kerajaan negeri ini selain kesesakan di pintu masuk sempadan antara Johor dan Singapura.

“Selain itu, MOF juga akan melihat beberapa isu yang menjadi kepentingan rakyat negeri ini termasuk pembinaan hospital, banjir yang kerap berlaku di beberapa daerah serta pembangunan dan penambahan sekolah-sekolah daif,” jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2023 yang bertemakan Membangun Malaysia Madani pada 24 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya