Warga emas cedera ditanduk lembu korban, suasana meriah bertukar cemas

Warga emas cedera ditanduk lembu korban, suasana meriah bertukar cemas

LEMBU yang menyerang petugas ibadah korban di perkarangan Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI) di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Suasana ibadah korban di Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI) di sini, bertukar kecoh apabila seekor lembu yang sedang ditangkap tiba-tiba mengamuk lalu menanduk seorang warga emas sehingga mangsa patah pergelangan tangan kiri.

Dalam insiden kira-kira pukul 10.30 pagi itu, haiwan seberat hampir 300 kilogram tersebut bertindak agresif menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dirempuh manakala seorang lagi petugas cedera ringan.

Pengerusi MITSI, Ideris Abu Bakar berkata, pada mulanya lembu tersebut kelihatan tenang walaupun dikelilingi orang ramai yang ingin menyaksikan proses sembelihan.

“Namun keadaan berubah sekelip mata apabila tiang besi yang digunakan untuk mengikat haiwan tercabut selepas ditarik kuat.

“Warga emas yang cedera sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dalam keadaan stabil. Ini kali pertama insiden sebegini berlaku sepanjang lebih 15 tahun penganjuran program korban di MITSI,” katanya di sini hari ini.

Ideris berkata, pihak jawatankuasa sudah mengambil langkah keselamatan seperti biasa namun kejadian tidak dijangka tetap berlaku. 

“Lembu berkenaan akhirnya dapat ditangkap dan disembelih sekitar pukul 11 pagi. Kami menguruskan sebanyak 17 ekor lembu pada tahun ini. Peristiwa ini menjadi pengajaran agar lebih berhati-hati dan memperketat aspek keselamatan pada masa akan datang.

“Bantuan rawatan dan sumbangan kecil turut disediakan bagi meringankan beban mangsa yang cedera,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN