KUALA LUMPUR: Ahli politik menjadi punca berlakunya kemelut politik negara yang menyaksikan pelantikan empat orang Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perkara itu boleh dielakkan jika mereka bersedia mengetepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.
Titah baginda, kemelut yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 dapat dielak jika episod yang membawa peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7 tidak berlaku.
“Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.
“Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 juga dapat dielakkan.
“Lebih penting lagi kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini,” titah Al-Sultan Abdullah merasmikan pembukaan penggal kedua Parlimen Ke-15, semalam.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri yang terakhir buatnya (Ke-10), kerana menurut Seri Paduka, seramai empat orang Perdana Menteri telah dilantik selama ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Pepatah Melayu lama mengingatkan kita, jika kerbau dipegang pada talinya, manusia pula dipegang pada janjinya,” tegas baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda tidak pernah berhasrat mencampuri urusan atau mencatur landskap politik negara, namun diheret ke dalam kancah politik akibat kemelut berkenaan.
“Terpahat dalam sejarah negara bahawa beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.
“Beta bermula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketujuh. Namun, pada 24 Februari 2020, buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh.
“Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembagaan Persekutuan, beta selanjutnya mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020.
“Disangkakan panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari, Perdana Menteri yang kelapan juga telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021,” titahnya.
Seri Paduka kemudiannya sekali lagi terpaksa menggalas amanah berat dengan melantik Perdana Menteri baharu.
“Beta selanjutnya berpuas hati bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperolehi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan selayaknya menjadi Perdana Menteri kesembilan pada 1 Ogos 2021.
“Tidak berapa lama kemudian, Perdana Menteri kesembilan pula telah memohon perkenan beta untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
“Setelah selesai PRU15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi parlimen tergantung. Maka sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri terpaksa digalas oleh beta.
“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan pada 24 November 2022, beta berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10. Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir sebelum beta berangkat pulang ke Pahang,” titah baginda.
Titah Al-Sultan Abdullah, baginda khuatir suasana damai dan kemajuan negara tidak akan menjadi kenyataan jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan. – UTUSAN










