PETALING JAYA: Kejadian jeti runtuh di Kampung Pulau Pababag, Semporna kelmarin yang menyebabkan kira-kira 25 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag nyaris lemas menunjukkan bagaimana kira-kira 5.5 juta pelajar di lebih 10,000 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara terdedah kepada risiko kemalangan ketika berulang alik ke sekolah.
Infrastruktur yang usang di luar bandar dan ciri-ciri keselamatan jalan raya untuk pelajar di bandar yang diambil mudah menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan pada bila-bila masa seperti yang berlaku di Semporna.
Ini dibuktikan melalui kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) di Selangor – negeri yang dikatakan paling berisiko – yang mendapati kebanyakan pelajar termasuk murid sekolah rendah dibiar melintas jalan sendirian ketika kawasan tersebut sibuk dengan kenderaan ibu bapa menghantar atau menjemput anak masing-masing.
Kebanyakan jalan di kawasan sekolah juga tidak dilengkapi dengan piawaian untuk menjaga keselamatan pelajar seperti tiada pengawal trafik selain kawasan tiada laluan pejalan kaki untuk anak-anak yang masih kecil.
Selain itu, kenderaan awam seperti lori mengangkut barang turut mengabaikan papan tanda larangan memasuki kawasan sekolah ketika waktu puncak pelajar masuk atau keluar sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Trafik dan Infrastruktur Jalan (RTI), Miros, Norfaizah Mohamad Khaidir berkata, menerusi kajian dilakukan di 60 buah sekolah di Selangor pada 2021, mendapati terdapat risiko berlaku kemalangan di kawasan sekolah.
RISIKO
“Secara umum, setiap kawasan sekolah ada risiko untuk terjadinya kemalangan apabila pelajar menggunakan jalan raya untuk pergi dan balik sekolah.
“Bezanya cuma tahap risiko sama ada tinggi, sederhana ataupun rendah,” kata beliau.
Menerusi kajian tersebut, Norfaizah berkata, Miros mengenal pasti beberapa faktor utama boleh menyumbang kepada risiko ditimpa kemalangan.
“Antaranya tiada laluan pejalan kaki, tiada pagar untuk laluan pejalan kaki, tiada warden trafik sekolah dan penenang trafik yang kurang berkesan sehingga menyebabkan halaju kenderaan yang tinggi.
“Selain itu, sikap pengguna jalan raya juga menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan di mana kurang berhati-hati ketika berada atau menghampiri kawasan sekolah.
“Misalnya meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak bersesuaian ketika menunggu atau menghantar anak-anak ke sekolah sehingga mengganggu lalu lintas dan tidak mengurangkan halaju kenderaan apabila melalui kawasan sekolah,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, kajian tersebut membabitkan sampel yang terdiri daripada sekolah-sekolah yang terletak di jalan persekutuan dan jalan perbandaran dengan reka bentuk jalan raya lebih kurang sama di seluruh negara.
Kata beliau, ia bagi memastikan hasil dapatan kajian tersebut dapat menggambarkan risiko keadaan untuk kebanyakan kawasan sekolah di negara ini dan bukan semata-mata di Selangor.
CIRI-CIRI
“Kajian dilakukan bagi mengenal pasti tahap risiko berdasarkan ciri-ciri reka bentuk jalan, keadaan semasa kemudahan pejalan kaki, operasi trafik (isipadu dan halaju kenderaan) serta kadar penggunaan kemudahan pejalan kaki,” kata beliau.
Beliau berkata, kajian itu menggunakan model penilaian keselamatan jalan raya antarabangsa (iRAP) yang diperakui badan-badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Bank Dunia.
Justeru, kata Norfaizah, penggunaan model yang dibangunkan berdasarkan kajian keselamatan jalan raya antarabangsa itu membantu supaya hasil dapatan kajian itu boleh diterima dan tidak dapat dipertikaikan.
“Model iRAP kini sedang digunakan lebih 100 negara bagi membantu pihak kerajaan masing-masing mengenal pasti intervensi berimpak tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian pengguna jalan raya terutama membabitkan pelajar,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip berkata, insiden jeti roboh di SK Pulau Pababag harus membuka mata pihak kerajaan untuk melihat isu keselamatan murid di negeri ini secara menyeluruh.
Menurut beliau, di Sabah, tiga peratus sekolah terletak di pulau maka jambatan dan jeti adalah laluan utama murid serta guru untuk ke sekolah setiap hari.
Namun, sekiranya jambatan dan jeti yang digunakan usang maka, nyawa murid terancam.
“Jika kemudahan jambatan usang, pihak sekolah boleh berbincang dengan wakil rakyat atau pemimpin masyarakat di kampung tersebut agar segerakan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Jangan tunggu sehingga insiden sama berulang baru kementerian mahu bertindak. Perkara ini berkait rapat dengan keselamatan murid, biarpun ia berlaku di luar kawasan sekolah,” katanya.- UTUSAN










