KUALA LUMPUR: Penukaran status ‘negeri’ Sabah dan Sarawak kepada ‘wilayah’ adalah berbeza dengan kedudukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pewartaan wilayah kepada Sabah dan Sarawak bagi mengangkat kedudukannya sebagai entiti berautonomi yang mana negeri itu mempunyai kawalan ke atas urusannya sendiri.
Di samping itu, ia juga mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan secara bebas daripada pengawasan luar dengan kesemua hak dikembalikan seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Wilayah dalam konteks Sabah Sarawak ini tiada kena-mengena dengan tiga Wilayah Persekutuan yang ada sekarang. Kita mesti melihat fakta dan sejarah di dalam MA63 yang mana Sabah, Sabah dan Semenanjung membentuk negara Malaysia.
“Apabila Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada negara ini, ada syarat yang dikenakan berkenaan hak dan urus tadbir negerinya.
“Bagaimanapun, kesemua perkara dalam perjanjian telah diabaikan. Sebab itu, sekitar tahun 1970-an di mana pindaan Perlembagaan bermula, ia dinamakan sebagai negeri dan seluruh negara menganggap kesemua negeri ini sama, tapi sebenarnya tidak.
“Sebab ada hak di dalam MA63 yang mengiktiraf mereka sebagai wilayah seperti yang dijanjikan. Itu hak mereka yang Persekutuan tidak tunaikan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Wilayah Persekutuan pula ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Akhbar ini semalam melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpendapat, status Sabah dan Sarawak perlu kejak sebagai negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pewartaan sebagai wilayah dikhuatiri mengundang masalah lebih besar kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan kedudukan sebenar Sabah dan Sarawak sama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Sarawak baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pewartaan Sabah dan Sarawak secara rasmi sebagai wilayah akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa Sabah dan Sarawak telah diberi status wilayah, namun tidak menyatakan bila ia berkuatkuasa.
Kabinet terdahulu meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu manakala Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Pindaan itu dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. – UTUSAN










