Angka korban gempa bumi Venezuela hampiri 3,000 orang

Angka korban gempa bumi Venezuela hampiri 3,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Angka kematian akibat dua gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela meningkat kepada hampir 3,000 orang, menurut angka rasmi terkini ketika pasukan penyelamat antarabangsa mula menamatkan operasi mencari mangsa terselamat di bawah runtuhan.

Jumlah korban meningkat lebih 300 orang berbanding Jumaat kepada 2,954 mangsa susulan bencana pada 24 Jun itu, yang menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di kem-kem sementara.

Puluhan ribu lagi masih dilaporkan hilang. Kerajaan Venezuela belum mengeluarkan sebarang anggaran rasmi, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 50,000 orang masih tidak dapat dikesan selepas gempa 7.2 dan 7.5 magnitud yang berlaku hanya selang 38 saat.

Antara bencana gempa bumi terburuk pernah melanda Amerika Latin itu paling teruk menjejaskan kawasan pesisir La Guaira di utara ibu negara Caracas, apabila banyak kompleks kediaman musnah sama sekali.

Sepuluh hari selepas dua gegaran itu berlaku, pasukan penyelamat mula menamatkan operasi mencari mangsa yang masih hidup, sementara keluarga mangsa terus berusaha mengeluarkan mayat ahli keluarga mereka daripada timbunan runtuhan.

Tempoh kritikal bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi lazimnya berakhir selepas 72 jam, walaupun beberapa mangsa masih ditemui hidup sepanjang minggu ini.

Sebagai petanda operasi menyelamat semakin berakhir, Presiden sementara, Delcy Rodríguez mengadakan majlis penyampaian pingat penghargaan kepada pasukan penyelamat antarabangsa, termasuk anjing-anjing pengesan yang terbabit dalam operasi itu.

Menurut Rodríguez, Venezuela sedang melalui kesedihan yang amat mendalam, apabila keluarga masih berharap insan tersayang ditemui hidup, sementara ramai yang kehilangan segala-galanya.

Pasukan bantuan bencana antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Amerika Selatan, memaklumkan mereka mula menamatkan operasi menyelamat pada Sabtu.

Pasukan penyelamat Jabatan Bomba Daerah Los Angeles menamatkan operasi selepas pencarian terbaharu tidak lagi mengesan sebarang tanda kehidupan, manakala pasukan dari Florida dan Virginia bersiap sedia meninggalkan Venezuela pada hujung minggu ini.

Ramai rakyat Venezuela meluahkan kemarahan terhadap apa yang disifatkan sebagai tindak balas kerajaan yang lambat, dengan mendakwa keluarga mangsa terpaksa menggali sendiri runtuhan untuk menyelamatkan orang tersayang sebelum bantuan antarabangsa tiba.

Rodríguez bagaimanapun mempertahankan tindakan kerajaannya dengan berkata ribuan anggota tentera dan pegawai telah dikerahkan ke kawasan terjejas.

Di La Guaira, jentera berat mula merobohkan bangunan yang runtuh pada Sabtu, manakala di lokasi lain, ahli keluarga masih berusaha mengeluarkan mayat orang tersayang untuk urusan pengebumian.

“Kami masih bekerja dan masih mencari mayat. Kami teruskan usaha ini. Ia bukan sesuatu yang mudah. Kami menemui dua mayat yang telah diserahkan kepada keluarga masing-masing,” kata sukarelawan Venezuela, Francisco Sasquia yang membantu mengorek runtuhan sebuah bangunan kediaman.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN