JOHOR BAHRU: Pemimpin-pemimpin parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 khususnya daripada blok kerajaan Perpaduan diminta berkempen secara berhemah bagi memastikan kestabilan kerajaan peringkat pusat.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sehubungan itu berkata, sebarang kritikan yang hendak dibuat terhadap pihak lawan haruslah bersandarkan fakta dan bukan bersifat serangan peribadi.
Menurutnya, perkara paling penting dalam sesebuah negara adalah keamanan dan kestabilan, walaupun ketika negara sedang berdepan kempen pilihan raya.
“Kecaman itu biasa dalam pilihan raya, gurau manja usik mengusik. Tetapi perlu diingat agar tidak berbentuk serangan peribadi. Mengenai dasar kita okay, tiada masalah, parti juga okay.
“Jadi kita kena berpada-padalah kerana diperingkat Persekutuan kita masih lagi menguruskan negara secara bersama. Itu penting, jangan sampai merosakkan negara, orang usik saya, saya usik orang tiada isu,” katanya kepada pemberita selepas program makan tengah hari bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Ulu Tiram, di sini hari ini.
Tambah Timbalan Presiden UMNO itu, kestabilan politik dan keharmonian dalam negara penting kerana telah menyumbang rekod positif terhadap kemasukan pelaburan dan pelancong asing dalam negara.
“Tahun lepas Malaysia tertinggi dalam kalangan negara ASEAN yang menerima pelancong, kira-kira 42 juta mengatasi Thailand. Sebab apa, orang nampak Malaysia stabil, aman. Jadi jangan disebabkan pilihan raya kita merugikan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan PRN Johor kali ini mempunyai kaitan dengan usaha gabungan itu membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa segelintir pihak.
“PRN Johor ini tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib atau pembebasan beliau. Kita sebuah negara hukum dan kami hormati undang-undang. PRN Johor ini cuma proses memilih kerajaan yang akan mentadbir negeri Johor.
“Jika ia melibatkan penubuhan kerajaan Persekutuan, mungkin ada asasnya untuk berkata sedemikian, tetapi ini PRN, apa yang Menteri Besar boleh buat untuk bebaskan Datuk Seri Najib.
“Pengampunan itu kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, jadi kita tidak perlu ambil kuasa baginda dan jangan pula kita perkecilkan kuasa tersebut, itu perlu difahamkan terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN










