Solbakken kecam keputusan FIFA

Solbakken kecam keputusan FIFA

Stale Solbakken
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Jurulatih Norway, Stale Solbakken menyifatkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun terlepas daripada penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah sebagai satu kesilapan besar yang boleh menjejaskan kredibiliti badan induk dunia itu.

Solbakken meluahkan rasa tidak puas hati itu selepas Norway mengejutkan juara lima kali, Brazil, 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik, sambil menegaskan keputusan badan induk bola sepak dunia itu akan terus membayangi kempen AS sepanjang kejohanan.

“Saya perlu berterus terang. Saya fikir itu satu kesilapan besar oleh FIFA.

“Balogun menerima kad merah dan Video Bantuan Pengadil (VAR) turut mengesahkan keputusan itu. Dia telah diperintah keluar padang, maka sepatutnya digantung satu perlawanan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Solbakken, keputusan tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap ketelusan FIFA, malah akan menyebabkan setiap kejayaan yang diraih AS selepas ini dipersoalkan.

“Jika mereka menewaskan Belgium, perkara ini akan sentiasa menjadi topik perbincangan. Ia akan terus membayangi mereka,” katanya.

Solbakken turut mempersoalkan konsistensi FIFA dalam mengendalikan kes disiplin pada masa akan datang, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

“Bagaimana pula dengan kad merah yang akan datang? Adakah akan ada jawatankuasa yang akan membatalkan setiap kad merah selepas ini?

“Ini adalah keputusan yang sangat buruk dan akan mencemarkan Piala Dunia.

“Saya juga bersimpati dengan AS kerana jika mereka muncul sebagai pemenang, isu ini akan sentiasa menghantui kejayaan mereka. Ia bukan sesuatu yang baik untuk bola sepak,” katanya.

Terdahulu, FIFA menggantung pelaksanaan hukuman penggantungan Balogun selepas menerima rayuan, yang menurut laporan dibuat susulan campur tangan peribadi Presiden AS, Donald Trump kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN