Setiap hari buat panggilan sebelum kapal hilang

Setiap hari buat panggilan sebelum kapal hilang

SANDRA Littor (kiri) dan adiknya, Recel menunjukkan gambar percutian keluarga bersama Derrent di kediaman mereka di Kampung Malawa, Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Apabila sampai di Kuching, kami akan turun (melarikan diri) dari kapal.”

Itu antara luahan Derrent Littor, 22, semasa menghubungi ahli keluarganya pada 1 Januari lalu, sebelum kapal MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang di perairan Indonesia pada 9 Januari lalu.

Kakaknya, Sandra Littor, 32, berkata, mereka sekeluarga pernah meminta Derrent untuk pulang ke Sabah pada hujung tahun lalu, namun adiknya itu ingin terus bekerja sebagai kelasi kapal.

“Semasa Derrent mengadu penat kerana perlu memunggah besi ke atas kapal, adik saya, Lily memintanya untuk berhenti kerja dan pulang sahaja ke Sabah. Memunggah besi itu bukan tugas Derrent tapi, mereka dipaksa membuat kerja tersebut.

“Malah, Derrent juga memberitahu dia takut melihat keadaan kapal yang agak usang tapi dia cakap ‘alang-alang sudah, biarlah sampai di Kuching baru dia turun dari kapal berkenaan’ jadi, kami tidak memaksa dia untuk pulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sandra berkata, Derrent telah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kerana mendakwa mengalami masalah gaji.

“Derrent mula bekerja pada Oktober tahun lalu dan kontraknya akan tamat pada April ini,” ujarnya.

Bercerita lanjut Sandra berkata, itu adalah pengalaman pertama Derrent bekerja sebagai kelasi kapal, namun tidak disangka kejadian sebaliknya berlaku terhadap adik bongsunya itu.

Sandra berkata, adik bongsu daripada enam beradik itu menyimpan hasrat ingin bekerja di luar pesisir (offshore) jadi, dia perlu menimba pengalaman selama enam bulan bekerja sebagai kelasi kapal.

Menurutnya, Derrent seorang yang manja dan sangat rapat dengan keluarga malah, sejak bekerja di Semenanjung, hampir setiap hari dia membuat panggilan video dengan kakaknya, Lily.

Sebelum kapal kargo dinaiki itu hilang, Derrent sempat membuat panggilan video untuk menunjukkan keadaan dalaman kapal yang agak usang dan ia membimbangkan mereka sekeluarga.

“Apabila melihat rakaman video yang dimuat naik dalam laman Fecebook oleh ketua operasi kapal, rakaman itu menunjukkan keadaan air hampir sama paras dengan lantai kapal. Memang agak menakutkan,” katanya.

Derrent antara tiga warga Malaysia yang menaiki kapal kargo yang membawa muatan 527 batang besi bernilai RM726,205.

Dua kru lain termasuk ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan Mohammad Sudeh Sudin, 20.

Kapal MV Dai Cat 06 yang sedang dalam perjalanan dari Perak pada 23 Disember dan dijadual tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember dilaporkan hilang pada 9 Januari lalu semasa berada di perairan Indonesia, iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN