KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung pada 2013, menghormati keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes tersebut sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ibunya, Ruhani Hussain, 71, berkata, ia dibuat selepas siasatan tidak menemukan bukti yang membolehkan mana-mana individu didakwa berhubung kematian Allahyarham.
“Walaupun siasatan forensik mengenal pasti terdapat tompokan darah individu lain pada pakaian Wan Ahmad Faris, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pihak berkuasa memutuskan penemuan tersebut tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku.
“Selain itu ia tidak cukup kuat membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian Allahyarham. Jadi… keluarga menghormati keputusan yang telah dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ruhani memberitahu, seluruh keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkuasa serta agensi yang menjalankan siasatan dengan penuh komitmen sehingga kes berkenaan selesai.
Katanya, penghargaan turut diberikan kepada barisan peguam yang telah menyediakan khidmat guaman, nasihat serta komitmen tinggi dalam membantu keluarga sepanjang proses tersebut.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan terima kasih kerana sentiasa mendoakan serta memberikan sokongan sejak hari pertama proses itu berjalan sehingga kini,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 20 Ogos tahun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013. – UTUSAN










