MEXICO CITY: Pemain tengah England, Jude Bellingham memberitahu kepada rakan sepasukannya bahawa mereka boleh menjadi juara dunia selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas Mexico di pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca, semalam.
Sebarang kemungkinan jelas tidak memihak kepada skuad kendalian Thomas Tuchel itu berikutan mereka beraksi di Stadium Azteca yang menjadi kubu kuat Mexico yang hanya tewas dua kali daripada 89 perlawanan sebelumnya.
Selain berdepan sorakan 80,000 penyokong tuan rumah, England terpaksa mengharungi permainan di altitude tinggi serta bermain lebih 45 minit dengan kekurangan seorang pemain setelah Jarell Quansah dilayangkan kad merah.
Namun ketika itu, dua gol separuh pertama Bellingham yang dijaringkan dalam tempoh 98 saat sudah memberi kelebihan kepada pelawat untuk dipertahankan.
“Ini adalah malam terbaik dalam karier saya bersama England. Benar-benar luar biasa.
“Saya sedar akan tanggungjawab, saya sedar akan tekanan yang saya tanggung bersama pemain lain.
“Setiap pemain mempunyai tanggungjawab berbeza di atas padang mengikut peranan masing-masing, tetapi saya tahu apa yang saya boleh sumbangkan kepada pasukan,” kata pemain tengah Real Madrid itu.
Bellingham berharap keyakinannya dapat mempengaruhi rakan sepasukan dalam usaha menamatkan penantian 60 tahun untuk memenangi kejohanan utama.
“Saya benar-benar yakin dan saya harap kemenangan seperti ini dapat memberi mereka keyakinan yang sama bahawa mereka adalah pemain hebat dan kita tidak sepatutnya takut kepada sesiapa.
“Kita tidak sepatutnya menunggu 40 minit, 50 minit, 60 minit untuk sedar bahawa kita adalah pasukan yang sangat baik.
“Jadi saya harap kemenangan ini menanam keyakinan itu dalam skuad kerana mereka layak untuk merasainya,” katanya. AFP










