KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai keupayaan melaksanakan pembedahan transplan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru, namun kapasiti sedia ada masih belum mampu memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Kesihatan, Suhaizan Kaiat berkata, berdasarkan rekod terkini sehingga 30 Jun 2026 menerusi Portal Derma Organ, jumlah keseluruhan pembedahan transplan yang berjaya dilaksanakan meningkat kepada 3,657 kes.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, seramai 10,170 pesakit masih berada dalam senarai menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah prosedur transplan, jurang antara keperluan pesakit dengan ketersediaan organ masih memerlukan pengukuhan sistem pendermaan dan transplan organ secara berterusan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Kesihatan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(ia) Peraturan-Peraturan majlis Mesyuarat Dewan Rakyat berhubung reformasi sistem pendermaan dan transplan organ nasional.
Katanya, lebih 1,100 peluang pendermaan organ tidak dapat direalisasikan berikutan ketiadaan persetujuan daripada ahli keluarga.
“Keadaan ini memberi gambaran bahawa masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pendermaan organ serta membina keyakinan yang lebih tinggi terhadap sistem pendermaan dan transplan organ negara.
Selain itu, jelas Suhaizan, negara kini mempunyai lebih 55,000 pesakit yang bergantung kepada rawatan dialisis dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada lebih 104,000 pesakit menjelang tahun 2040.
“Perkembangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit dan keluarga mereka, malah meningkatkan tekanan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Kos rawatan dialisis yang mencecah hampir RM2 bilion setahun menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem pendermaan dan transplan organ secara lebih menyeluruh.
Katanya, langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan akses kepada rawatan, malah merupakan satu pelaburan strategik bagi memastikan sumber kesihatan negara dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan.
“Berdasarkan penelitian yang telah dijalankan, cabaran utama sistem pendermaan dan transplan organ negara bukanlah berpunca daripada kekurangan kepakaran perubatan semata-mata. Sebaliknya, ia melibatkan keseluruhan ekosistem yang merangkumi aspek tadbir urus, penyelarasan pelaksanaan, pembangunan kepakaran, pembiayaan, infrastruktur serta tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendermaan organ,” katanya.
Dalam hal ini, pelaksanaan perkhidmatan transplan organ pada masa ini masih memerlukan penyelarasan yang lebih mantap antara pelbagai institusi dan agensi yang terlibat.
Katanya, walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, usaha memperkukuh penyelarasan dasar dan perkongsian data, perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan keseluruhan sistem berfungsi secara lebih bersepadu dan berkesan.
“Di samping itu, sistem pendermaan dan transplan organ negara perlu disokong oleh kerangka dasar dan perundangan yang sentiasa relevan dengan perkembangan bidang perubatan. Kemajuan teknologi serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa menuntut agar sistem sedia ada sentiasa dikaji dan diperkemas bagi memastikan pelaksanaannya kekal telus, berakauntabiliti dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.
“Pada masa yang sama, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diperkukuh secara berterusan. Kefahaman mengenai pendermaan organ perlu diterapkan melalui pendekatan pendidikan, komunikasi awam dan penglibatan pelbagai pihak supaya masyarakat memahami kepentingan pendermaan organ serta mempunyai keyakinan terhadap sistem yang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










