Seorang pendaki dipercayai lemas di Sungai Tanum ketika turun dari Gunung Tahan - Utusan Malaysia

Seorang pendaki dipercayai lemas di Sungai Tanum ketika turun dari Gunung Tahan

GERAKAN mencari dan menyelamat dilakukan oleh anggota bomba, MOCSAR dan polis di lokasi seorang pendaki yang hanyut di Sungai Tanum di Taman Negara Sungai Relau berdekatan Kuala Juram, Merapoh di Lipis, Pahang. - FOTO /IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang pendaki lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Tanum, Taman Negara Merapoh ketika turun dari Gunung Tahan berdekatan Kuala Juram, Merapoh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, Balai Polis Merapoh menerima maklumat pada pukul 2.20 petang memaklumkan tentang seorang lelaki hanyut semasa melintas Sungai Tanum ketika turun dari Gunung Tahan.

“Mangsa, Haniff Harun berusia 47 tahun yang beralamat Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu antara seramai 10 orang kumpulan pendaki mula mendaki Gunung Tahan melalui Kuala Juram, Merapoh pada 20 Januari lalu dan dijangka turun semula pada 24 Januari ini.

“Bagaimana semasa perjalanan pendakian hujan lebat turun menyebabkan kumpulan pendaki itu tidak dapat meneruskan perjalanan lalu terpaksa berpatah balik ke Kuala Juram sehinggalah dimaklumkan tentang kejadian mangsa dihanyutkan air Sungai Tanum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, kumpulan tersebut dipandu arah oleh seorang malim gunung dan seorang pembawa barang manakala jarak lokasi kejadian dari Kuala Juram, Merapoh kira-kira tiga kilometer dan lebar sungai mangsa hanyut lebih kurang 20 meter.

“Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat sudah menjumpai beg pengembara mangsa, manakala pendaki lelaki berkenaan masih belum ditemukan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis akan membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memudahkan perhubungan serta penugasan mencari dan menyelamat mangsa.

Sementara itu, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Lipis bersama 10 orang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Di Gunung dan Gua (MOCSAR) dan lima orang anggota polis melakukan pendakian bagi operasi menyelamat.

“Sehingga kini, kita belum lagi menerima maklumat daripada anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli.

“Kesukaran berhubung untuk memperoleh maklumat berikutan tiada rangkaian komunikasi. Bagaimanapun anggota bomba dan penyelamat termasuk polis terus berusaha mencari mangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya