PRN: PH, BN sukar tawan Terengganu

PRN: PH, BN sukar tawan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jika melihat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berdepan tugas gentir menawan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Berdasarkan keputusan, itu, PH dan BN tewas di semua lapan Parlimen di negeri ini di tangan Perikatan Nasional (PN).

Malah, PN Terengganu yang menggabungkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti besar di lapan Parlimen tersebut.

Lapan kerusi Parlimen di negeri ini ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Mengikut pecahan undi di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di lapan Parlimen tersebut pada PRU15 menunjukkan, BN hanya mencatatkan kemenangan di DUN Telemong dalam kawasan Parlimen Hulu Terengganu dengan majoriti kira-kira 600 undi sahaja.

Sementara itu, kerusi-kerusi DUN yang lain pula dikuasai sepenuhnya oleh Pas.

Kemenangan besar PN di Terengganu pada PRU15 seolah-olah memberi gambaran awal PH yang melibatkan gadingan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP serta BN sukar menggugat kekuatan PN.

Walaupun PH dan BN mahu bangkit semula pada PRN nanti, parti-parti ini dijangka sukar menarik sokongan pengundi termasuk di kawasan kubu kuat BN sebelum ini.

Kebanyakan pengundi termasuk anak-anak muda di Terengganu didapati lebih tertarik menyokong PN berbanding PH dan BN yang semakin suram pengaruhnya di negeri ini.

Selain itu, terdapat pemerhati politik menjangka berlaku perebutan kerusi DUN antara PH dan BN menjelang PRN nanti.

Perebutan kerusi tersebut menyukarkan lagi peluang parti berkenaan memenangi PRN apabila berlaku undi protes dalam kalangan penyokong parti-parti terlibat.

Pada PRU14, Pas menawan 22 kerusi DUN manakala BN pula memperoleh kemenangan di 10 kerusi manakala PKR gagal mendapat sebarang kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN