Pertimbang keluar KWSP lagi - Utusan Malaysia

Pertimbang keluar KWSP lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dengan jangkaan kenaikan harga barang sehingga 10 peratus dan ditambah situasi semasa ekonomi tidak menentu tahun ini, kerajaan wajar mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini bagi membantu pencarum ‘bernafas’ selain memastikan mereka mempunyai wang untuk menyediakan makanan yang cukup buat keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd. Tahir berkata, saranan ini berdasarkan kepada aduan dan desakan 320,000 pencarum yang mahu kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut kerana tertekan dengan keadaan inflasi dan ekonomi semasa.

Menurut beliau, pendapatan masyarakat ketika ini tidak seimbang dengan nilai kos sara hidup yang perlu dikeluarkan untuk meneruskan kelangsungan hidup lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di bandar.

Kata beliau, jika kerajaan membenarkan pengeluaran tersebut, tindakan tersebut bakal membantu pencarum yang memerlukan `talian hayat’.

HUTANG

“Pengeluaran duit KWSP bukan sahaja menampung kos sara hidup tetapi mungkin boleh digunakan untuk membayar hutang seterusnya mengelakkan mereka muflis kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

“Setakat ini kami sudah menerima sebanyak 320,000 borang aduan yang menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP 2.0. Mereka ini adalah suri rumah, ibu atau bapa tunggal dan pencarum yang sudah lama tidak mencarum.

“Mereka ini tiada pekerjaan tetap jadi memerlukan pengeluaran tersebut untuk dijadikan sebagai modal kehidupan seperti membayar tunggakan dan bersedia menghadapi inflasi yang diramalkan akan terus tinggi tahun ini,” kata beliau.

Kata Azmi lagi, bagi pencarum aktif, kumpulan tersebut dicadangkan boleh mengeluarkan 30 peratus daripada jumlah akaun satu masing-masing.

“Melalui maklum balas diterima oleh 136,137 pencarum KWSP, sebanyak 79.6 peratus mempunyai baki akaun satu melebihi RM10,000 dan ini menunjukkan individu yang memerlukan pengeluaran KWSP 2.0 mempunyai jumlah baki mencukupi,” katanya.

Akhbar-akhbar melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada bulan ini dan lebih merunsingkan apabila penganalisis ekonomi turut meramalkan harga barang akan melonjak naik lebih 10 peratus tahun ini.

Ini jelas menunjukkan tedapat kumpulan yang bakal berdepan situasi sukar apabila bebanan hutang mereka meningkat, oleh kerana itu kerajaan perlu mengemukakan penyelesaian yang membantu rakyat secara menyeluruh.

MAKLUM BALAS

Sementara itu, Azmi memaklumkan, sehingga kini pihaknya masih tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.

“Saya minta jasa baik Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin untuk aturkan perjumpaan kami sebab pihak saya sudah menyerahkan surat permohonan kunjung hormat pada 7 Disember tahun lalu.

“Ini untuk membuat pembentangan kepada Perdana Menteri mengenai kenapa dan mengapa pengeluaran ini wajar dibenarkan oleh kerajaan. Ini juga secara bersasar, bukan dibuka untuk seluruh pencarum.

“Saya ada semua nama mereka dan ini atas budi bicara Perdana Menteri sama ada beliau mahu melakukan pengeluaran bersasar itu bagaimana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN